Muhyiddin tidak perlu menteri kanan, duta bertaraf menteri, kata Puad Zarkashi


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata kabinet Muhyiddin Yassin terlalu besar, malah jawatan menteri-menteri kanan termasuk duta khas bertaraf menteri hanyalah satu pembaziran ketika negara sedang berhadapan masalah ekonomi dan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

KABINET Muhyiddin Yassin tidak lagi memerlukan menteri kanan selepas Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Muhyiddin juga boleh menjimatkan wang negara dengan mengecilkan kabinetnya termasuk memansuhkan jawatan duta bertaraf menteri, tambahnya.

“Timbalan perdana menteri sudah pun dilantik. Maka perlu lagikah jawatan empat menteri kanan dikekalkan.

“Tidakkah itu satu pembaziran. Lagi pun apa peranan dan bidang kuasa mereka kecuali dapat keistimewaan ‘polis pengiring’?” tanyanya dalam satu komentar di Facebook.

Puad mengingatkan kabinet Muhyiddin sekarang dianggotai oleh 70 orang terdiri daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

“Sepatutnya dengan pandemik Covid-19 ini jawatan menteri kanan termasuk wakil-wakil yang bertaraf menteri ditamatkan sahaja. Membazir dan tiada team work,” tambahnya.

Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 7 Julai dan kekal memegang portfolio menteri pertahanan.

Tugasnya sebagai menteri kanan keselamatan dipindahkan kepada Hishammuddin Hussien yang juga kekal sebagai menteri luar negeri.

Tiga lagi menteri kanan dalam jemaah menteri Muhyiddin ialah Mohamed Azmin Ali (ekonomi), Mohd Radzi Md Jidin (pendidikan dan sumber manusia), dan Fadillah Yusof (infrastruktur).

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memegang jawatan duta khas ke Asia Barat manakala Presiden Parti Demokratik Progresif Tiong King Sing menjadi wakil khas ke China. 

Muhyiddin sebelum ini dikritik kerana mengagih-agihkan jawatan dalam kerajaan dan syarikat milik kerajaan kepada ahli-ahli parlimen sebagai muslihat politik untuk terus kekal sebagai perdana menteri ketika majoriti sokongan kepadanya jadi tanda tanya.

Sebelum ini, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga mempersoalkan kewajaran jawatan menteri kanan kekal selepas Muhyiddin melantik Ismail Sabri sebagai timbalannya.

“Sepatutnya dengan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri, perjawatan menteri-menteri kanan mestilah dibubarkan dengan serta merta. 

“Ianya tidak membawa sebarang fungsi melainkan membazirkan duit rakyat dengan kos tambahan pengiring polis dan pasukan keselamatan,” kata ketua penerangan Muda, Zaidel Baharuddin.

Zaidel juga mempertikaikan peranan Hishammuddin sebagai menteri kanan keselamatan sedangkan Ismail Sabri sebenarnya yang memegang portfolio pertahanan.

“Adakah Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin) yang mengepalai kementerian yang jauh lebih besar dari segi belanjawan, tanggungjawab dan tenaga kerja akan menerima arahan dari Menteri Luar Negeri? 

“Bukankah jauh lebih masuk akal sekiranya Timbalan Perdana Menteri meneruskan sahaja bidang dan tanggungjawab beliau dalam kluster keselamatan,” katanya, dalam satu kenyataan pada 7 Julai. – 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen