KETUA Pakatan Harapan Sarawak Chong Chien Jen menyifatkan semua pemimpin Barisan Nasional negeri yang menyerang Dr Mahathir Mohamad sebagai “mereka yang hipokrit tak tahu malu”.
Menurutnya, jika Dr Mahathir banyak buat “perkara buruk kepada Sarawak” seperti dakwa mereka, maka parti itu “sama buruknya” kerana pemimpin itulah yang merestui dan membenarkan tindakan bekas perdana menteri itu.
Chong, pengerusi DAP negeri dan ahli Parlimen Bandar Kuching berkata keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk melantik negarawan berusia 92 tahun itu sebagai calon perdana menteri disokongnya.
Dr Mahathir adalah perdana menteri keempat Malaysia yang berkuasa dari 1981 hingga 2003 menjadikannya perdana menteri paling lama mentadbir.
Katanya, sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, semua politikus BN Sarawak tidak henti-henti memuji dan menyanjung dasarnya.
Malah, mereka memberikan darjah kebesaran kepada Dr Mahathir.
“Mereka memanggilnya bapa pembangunan. Mereka malah berebut hendak cium tangannya setiap kali dia melawat Sarawak.
“Tiada seorangpun yang mengkritik dasarnya ketika itu.
“Malah selepas Dr Mahathir bersara pada 2003, lebih sepuluh tahun selepas itupun, untuk pemimpin BN Sarawak, dasar dan jasa baiknya semuanya elok-elok belaka.
“Hanya selepas Dr Mahathir sertai Pakatan Harapan semua tindakannya selama ini yang dipuji pemimpin BN Sarawak tiba-tiba jadi buruk belaka,” kata Chong pada sidang media di Kuching hari ini.
Katanya lagi, jika sikap ini bukan “hipokarsi terhebat”, apakah gelaran yang sepatutnya diberikan?
“Apa sahaja yang dilakukan oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri diketahui, direstui dan diizinkan oleh kerajaan BN Sarawak.
“Dasarnya adalah dasar BN.
“Mengapa ketika itu pemimpin BN Sarawak tak kata apa-apa? Kenapa hanya memuji?
Apabila ditanya sekiranya tindakan pemimpin itu disebabkan sikap tak peduli, atau takut atau tidak memikirkan kebajikan rakyat tetapi hanya kepentingan dirinya sendiri, Chong menjawab:
“Ramai pemimpin BN Sarawak ketika itu sehingga sekarang masih pegang jawatan dan berkhidmat dalam pemerintahan Dr Mahathir.”
Disebabkan itu, mereka perlu memberikan penjelasan kepada rakyat mengapa ketika itu mereka menyokong Dr Mahathir tetapi mengkritiknya sekarang. – 15 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan