Hospital Klang perlu bantuan, pesakit terpaksa ditempatkan di luar, kata ahli Parlimen


Elill Easwaran

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyebut keadaan itu sebagai "tragedi," memohon campur tangan kerajaan segera, selain beliau akan mengutus surat kepada Menteri Kesihatan agar menambah peruntukan kepada HTAR. – Gambar Charles Santiago, 7 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu segera campur tangan dan perbaiki keadaan di jabatan kecemasan Hospital Tengku Ampun Rahimah (HTAR) Klang, di mana pesakit terpaksa menggunakan katil sementara dan ditempatkan di luar, kata ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

“Sungguh sedih lihat puluhan pesakit Covid-19 diletak di luar jabatan kecemasan hospital Klang kerana katil penuh di dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggelar keadaan itu sebagai “tragedi,” memohon campur tangan kerajaan segera, selain beliau akan mengutus surat kepada Menteri Kesihatan segera menambah dana kepada HTAR.

Ini bagi membina kemudahan sementara untuk menampung pesakit Covid-19, kata Santiago.

“Saya juga akan desak kerajaan untuk guna hotel bajet dan balai raya berdekatan sebagai langkah sementara untuk tempatkan pesakit,” tambahnya.

Santiago berkata beliau juga akan mendapatkan bantuan syarikat besar di Klang bagi membantu HTAR memberi peralatan perubatan dengan kadar segera.

Di Twitternya, beliau berkongsi gambar keadaan semasa di HTAR, menunjukkan pesakit terpaksa menggunakan katil sementara dan ditempatkan di pintu masuk jabatan kecemasan di hospital tersebut.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Adham Baba berkata penggunaan katil hospital di Lembah Klang melebihi 85%, kerana kes Covid-19 meningkat setiap hari.

Hari ini, Malaysia melaporkan 7,097 kes baharu Covid-19, melebihi 7,000 buat dua hari berturut-turut.

Setakat semalam, 943 orang di tempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 450 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Minggu lalu, tular di media sosial gambar dan video suasana kecoh di Hospital Kuala Lumpur dikongsi doktor, berkata katil hampir penuh sehingga pesakit terpaksa dirawat di lantai. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen