Pesakit dirawat di lantai kerana katil penuh, kata pengarah HKL


Gambar tular yang menunjukkan seorang pesakit dirawat di lantai bahagian kecemasan dan trauma Hospital Kuala Lumpur. – Gambar Facebook, 3 Julai, 2021.

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) merawat seorang pesakit di lantai di bahagian kecemasan dan trauma kerana semua katil di unit berkenaan sudah penuh, kata Dr Heric Corray.

Pengarah HKL itu berkata pesakit tiba dalam keadaan tidak sedarkan diri, tanpa nadi dan tidak bernafas.

“Pada masa itu semua katil sedang digunakan, dan pada masa yang sama didapati lantai mempunyai permukaan rata yang terbaik untuk CPR dilakukan segera.

“Namun pesakit tidak dapat diselamatkan. Punca kematian masih tidak diketahui, mayat dihantar ke jabatan forensik untuk bedah siasat (dan kami) kini menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataannya dibuat selepas doktor dari HKL memuat naik di media sosial bahawa Jabatan Kecemasan tidak mempunyai katil mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

Mereka berkata, lapan wad hospital itu sudah penuh dan mereka memerlukan alat bantuan pernafasan serta tangki oksigen.

Corray berkata penggunaan katil di hospital meningkat semasa wabak Covid-19.

Beliau berkata, sebilangan besar kes yang dibawa ke hospital itu membabitkan pesakit Covid-19 tahap 4. 

“Namun penggunaan katil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Corray berkata, HKL menangguhkan pembedahan elektif sejak Disember lalu kerana hospital tersebut mengutamakan kes kecemasan.  – 3 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen