Langgar SOP, Mahfuz beri keterangan kepada polis


Mahfuz Omar berharap kes pelanggaran SOP membabitkannya diselesaikan segera agar tiada tanggapan tidak baik pada polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengesahkan memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), baru-baru ini.

Mahfuz ketika dihubungi memberitahu proses memberi keterangan itu berlangsung kira-kira satu setengah jam di Ibu Pejabat Polis Kota Setar, di Alor Setar petang semalam.

“Saya harap kes ini diselesaikan segera sama ada nak dikompaun atau dakwa saya ke mahkamah, melewat-lewatkan kes saya akan beri tanggapan tidak baik pada polis yang seolah-olah saya dilayan sebagai golongan kayangan,” katanya hari ini.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pula, Mahfuz berkata beliau memberikan kerjasama baik sepanjang proses itu berlangsung dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis terlibat yang memberikan layanan baik semasa mengambil keterangan daripadanya.

“Saya juga telah meminta kepada semua pihak yang berkaitan dengan saya (semasa kejadian) untuk memberikan keterangan jika diminta oleh pihak polis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada 13 individu termasuk Mahfuz selain pegawai khas kepada ahli Parlimen itu serta penerima sumbangan bagi membantu siasatan berkaitan kes itu semalam. – Bernama, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen