ARAB Saudi mengikut jejak Malaysia dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dakwa Perdana Menteri Najib Razak hari ini.
Katanya, walaupun rakyat merungut mengenai sistem percukaian baru yang didakwa membebankan itu, negara lain pula mahu mengikut tindakan Malaysia.
“Saya baru habiskan lawatan kerja ke Arab Saudi. Mereka ikut model ekonomi kita.
“Kita laksanakan GST, mereka pun buat. Orang sana tak merungut bila kena bayar GST. (Tetapi) Rungutan banyak di Malaysia,” kata Najib hari ini pada majlis bersama pesara polis.
Arab Saudi memperkenalkan Cukai Tambah Nilai (VAT), sejenis GST bermula pada Januari 2018.
Ahli Parlimen Pekan itu menambah rakyat Malaysia juga merungut tentang kenaikan harga minyak walaupun ia hanya naik “beberapa sen”, tidak seperti kenaikan di Arab Saudi.
“Orang merungut bila kita naikkan harga minyak hanya tiga sen. Di sana (Saudi), harga minyak naik 126%,” kata Najib.
Katanya, rakyat Malaysia juga menerima banyak bantuan kerajaan yang tidak seperti negara lain, bantuan itu termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Najib juga mengatakan Putrajaya melaksanakan pengagihan kekayaan, di mana orang lebih kaya berbelanja lebih banyak dan kumpulan bawah 40 (B40) menerima manfaat.
“Prinsipnya, orang kaya belanja banyak jadi mereka banyak bayar GST. Mereka bayar kami GST supaya ia diagihkan secara saksama kepada B40.
“Inilah prinsip agihan. Kita sudah laksanakan di Malaysia dan Arab Saudi ikut kita,” katanya.
Beliau juga menyelar pakatan pembangkang mengatakan mereka membantah tanpa alasan kukuh dan seringkali buat “u-turn” berkaitan dasar mereka.
“Mereka yang bantah ada di sini, bukan semua adalah dua tiga orang. Mereka akan bantah dan buat u-turn bila mereka suka. Apa ni?” soal Najib. – 15 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan