PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) 3.0 telah gagal walaupun kesihatan awam sudah bekerja keras menyelamatkan nyawa dan mengekang penularan Covid-19, kata Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan.
Mereka berkata sistem dan proses sedia ada tidak cukup memandangkan kadar maut meningkat, masih ada kes mati sebelum tiba di hospital, kadar positif ujian yang tinggi, dan banyak kes sporadik.
Mereka berkata ini punca kenapa Unit Rawatan Rapi (ICU) terbeban.
“Melanjutkan PKP Penuh di Selangor dan Kuala Lumpur selama dua minggu, memang telah dijangka.
“Jumlah harian kita meningkat sekitar 6,000 hingga 7,000, dan peratusan positif harian kita terus meningkat pada 8.21% berbanding 6.99% sebulan lalu,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan pandemik.
Semalam, Lembah Klang mencatat jumlah jangkitan tertinggi dengan Selangor melaporkan 2,262 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 616.
Jawatankuasa itu juga bersetuju dengan pendirian Kumpulan Pakar Penasihat Sains dan Kesihatan Covid-19 (EAG) yang mendesak penilaian semula dasar dan amalan.
“Tanpa pelengkap penuh alat kesihatan awam seperti FTTIS (Kenal Pasti, Kesan, Ujian, Kuarantin dan Sokongan), sekatan pergerakan tidak berkuasa untuk menghalang gelombang keempat.
“Selain itu, penderitaan dan kelangsungan hidup yang tidak terhitung, kesan buruk jangka panjang anak-anak kita dan kehancuran ekonomi negara tidak dapat dipertanggungjawabkan.”
Mereka berkata ada empat pemboleh ubah utama sepanjang pandemik dan kegagalan untuk faham dinamik ini akan menyebabkan sekatan pergerakan gagal melentur lengkung pandemik dan akan jadi sia-sia untuk menghadapi gelombang keempat yang akan datang.
Pemboleh ubah pertama, kata mereka, adalah ‘Kadar Aktiviti’ rakyat yang akan menentukan pertembungan harian di mana orang positif menjangkiti orang lain.
“Sekatan pergerakan kurangkan Kadar Aktiviti dan semakin ketat sekatan pergerakan, semakin rendah kadar aktiviti, sekali gus semakin kecil kemungkinan ianya menular.
“Kedua, ‘Kadar Jangkitan’ atau peluang untuk menular akan dikurangkan dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan memperbaiki pengalihan udara. Tentunya, menjaga SOP (prosedur operasi standard) dapat membantu kurangkan Kadar Jangkitan.”
Jawatankuasa itu berkata, pemboleh ubah ketiga adalah ‘Kadar Imuniti’ yang menggambarkan status kekebalan penduduk.
“Semakin ramai orang diimunisasi (melalui vaksinasi atau selepas dijangkiti), semakin sedikit jumlah yang terdedah untuk mendapat jangkitan. Oleh itu, pandemik hilang dalam keadaan Imuniti Kelompok.
“Akhir sekali, ‘Tempoh Jangkitan’ mewakili jumlah hari seseorang yang dijangkiti itu berada dalam masyarakat. Semakin lama dia menghabiskan masa di luar dan bertemu orang lain, semakin besar kemungkinan penularannya.”
Oleh itu, mereka melihat peranan FTTIS atau bagaimana ‘Kenal Pasti, Kesan, Ujian, Kuarantin dan Sokongan’ orang yang dijangkiti (terutamanya asimptomatik) akan membantu mengurangkan penularan. – 5 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen