SITUASI kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dapat dielakkan sekiranya sistem Finding (Kenal Pasti), Tracing (Kesan), Testing (Ujian), Isolation (Kuarantin) dan Support (Sokongan) atau dikenali FTTIS digunakan secara meluas sejak awal bagi mengesan pesakit Covid-19, kata pakar kesihatan.
Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata Putrajaya perlu meningkatkan strategi pengurusan Covid-19 apabila munculnya berita mengenai wad Covid-19 penuh yang menyebabkan kesesakan di bahagian kecemasan dan trauma apabila pesakit terpaksa dirawat di lantai.
“Pembuat dasar terutama ahli politik perlu menyedari bahawa strategi yang digunakan dalam mengurus keadaan Covid-19 di negara ini sudah ketinggalan zaman. Ia perlu dipertingkatkan.
“Ia harus dibimbing dengan pendekatan mitigasi dan bukan pendekatan penyingkiran. Lebih ramai yang perlu diuji dan dikesan lebih awal bagi memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.
Arul berkata kerajaan sudah diingatkan beberapa kali bahawa Malaysia mungkin menjadi seperti India atau Amerika Syarikat jika ujian besar-besar dan rawatan tidak dilakukan lebih awal.
Semalam, Pengarah HKL Dr Heric Corray memberi maklum balas kepada mengenai keadaan di jabatan kecemasan HKL.
Dr Corray berkata penggunaan katil di hospital itu meningkat semasa wabak Covid-19 susulan sebilangan besar kes yang dibawa ke hospital itu membabitkan pesakit Covid-19 tahap 4.
Kenyataannya dibuat selepas doktor dari HKL memuat naik di media sosial bahawa Jabatan Kecemasan tidak mempunyai katil mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
Tambahnya, lapan wad hospital itu sudah penuh dan mereka memerlukan alat bantuan pernafasan serta tangki oksigen.
Arul berkata, kejayaan dalam mengendalikan virus Covid-19 lebih bergantung pada tahap kesedaran masyarakat dari menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mengarahkan orang ramai untuk “tinggal di rumah” adalah strategi sederhana yang terbukti memudaratkan kerana PKP tidak hanya gagal mengawal penyebaran virus tetapi juga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Apa yang seharusnya berlaku, selain duduk di rumah adalah ujian saringan lebih meluas bagi mengenal pasti mereka yang dijangkiti dengan cepat.
Sebaliknya, kadar ujian yang rendah mengurangkan peluang mereka menjalani pemeriksaan lebih lanjut dan rawatan yang tepat.
“Ini adalah salah satu sebab mengapa semakin ramai pesakit Covid-19 terjejas dan dimasukkan ke hospital di Tahap 4 dan 5 yang menyebabkan ICU serta Jabatan Kecemasan semakin sesak,” kata Azrul. – 4 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen