POLIS sedang menyiasat Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara dalam satu program agihan bantuan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata satu laporan polis telah dibuat pada 11.36 malam semalam berkaitan kejadian selepas beberapa gambar program berkenaan tular di media sosial.
Ahmad Shukri tidak menamakan ahli politik yang terlibat namun gambar tular di media sosial menunjukkan Mahfuz yang juga naib presiden Amanah memberikan bantuan di kawasannya tanpa menghiraukan SOP Covid-19.
Mahfuz turut mengakui dirinya disiasat kerana melanggar SOP.
“Pada 11.36 malam tadi, satu laporan polis telah dibuat berikutan tular gambar pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 melibatkan seorang ahi Parlimen di negeri Kedah. Hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa gambar dimuat naik di akaun Facebook Nurul Amin Hamid, yang memaparkan seorang ahli Parlimen terlibat dalam satu program bantuan dan kelihatan beliau tidak mengamalkan SOP yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa program tersebut berlangsung.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 11(1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka mahupun menjaga penjarakan sosial,” kata Ahmad Shukri dalam satu kenyataan hari ini.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan, Mahfuz duduk bersila di atas meja dengan pelitup muka di bawah dagunya, bersama beberapa individu lain dengan hidangan makanan dan minuman di meja berkenaan.
Sementara itu, Mahfuz mengakui insiden itu dan memberitahu Utusan beliau menghormati keputusan polis untuk menyiasat perkara itu dan sedia memberi kerjasama penuh.
“Kejadian itu berlaku di Kampung Alor Gandak dekat sini pada petang Jumaat baru-baru ini. Ketika itu, saya hadir bagi bertanya khabar kepada penduduk setempat dan menyampaikan bantuan kepada mereka,” katanya memetik laporan Utusan.
Mahfuz yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia juga berharap polis akan mempercepatkan siasatan dan melayannya seperti rakyat biasa.
“Saya harap polis percepatkan siasatan dan kalau kompaun juga perlu disegerakan. Saya harap polis layan seperti rakyat biasa,” beliau dipetik sebagai berkata.
Terdahulu minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon memohon maaf kerana melanggar SOP dengan menghadiri sebuah parti durian hujung minggu lalu di kawasannya di Batu Pahat, Johor.
Beliau mengaku silap membuat kenyataan bahawa kejadian itu sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP).
Namun beliau memohon maaf selepas pengguna media sosial meneliti rakaman video berkenaan yang menunjukkan ia berlaku dalam tempoh sekatan pergerakan.
Polis turut memanggil 14 individu lain untuk disoal siasat berhubung perkara itu.– 4 Julai, 2021.
Komen