TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon membetulkan kenyataannya sebelum ini mengenai rakaman video yang tersebar yang menunjukkan beliau hadir dalam satu jamuan durian di Batu Pahat.
Beliau mengaku silap membuat kenyataan bahawa kejadian itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rashid memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.
Beliau mendakwa kenyataan awalnya mengenai rakaman itu dibuat kepada wartawan sebelum meneliti rakaman yang tular.
“Saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya,” katanya.
Jelasnya, beliau hanya sempat meneliti rakaman video itu selepas majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.
Semalam, polis berkata kertas siasatan dibuka berhubung rakaman video yang tular itu, kerana pelanggaran peraturan dan sekatan mencegah penularan Covid-19.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah tidak menyebut nama Rashid tetapi satu-satunya rakaman yang tular berkaitan makan durian semalam menunjukkan kehadiran ahli Parlimen Bersatu itu.
Rashid yang juga ahli Parlimen Batu Pahat berkata sejak PKP yang pertama pada Mac 2020 sampai sekarang, beliau sering dapat aduan daripada pekebun kecil yang jualan hasil tanaman mereka merosot, termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan.
Rashid menjelaskan sebelum ke kebun durian itu, rombongan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang melawat Batu Pahat diberi hadiah durian.
Selepas Zuraida pulang, katanya, beliau dibawa ke kebun durian oleh salah seorang pengusaha “bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.”
“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.
“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya.
Jelas Rashid, selepas perbincangan tamat, beliau meninggalkan “program” awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.
“Saya memohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut. Saya berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis,” tambahnya.
Sumber semalam memberitahu The Malaysian Insight, rakaman video yang tular adalah kejadian pada hujung minggu, pada hari sama Zuraida melawat Batu Pahat.
Pengguna media sosial turut membidas kenyataan awal Rashid semalam dengan menganalisis gambar-gambar daripada rakaman video yang tular untuk menunjukkan kejadian berlaku semasa PKP. – 30 Jun, 2021.
Komen