PEKERJA asing di syarikat gergasi minyak sawit Malaysia menghadapi penganiayaan seperti penderaan fizikal dan keadaan hidup yang teruk, kata sebuah kumpulan hak asasi pada Rabu.
IOI Corporation adalah pengeluar komoditi terbaharu menghadapi tuduhan itu, diikuti larangan import oleh Amerika Syarikat terhadap dua lagi syarikat minyak sawit Malaysia atas tuduhan sama.
Minyak kelapa sawit biasa terdapat dalam makanan yang diproses hingga barangan kosmetik, dengan Malaysia dan Indonesia menyumbang 85 peratus bekalan kepada dunia.
Bagaimanapun aktivis telah lama mendakwa pekerja asing bergaji rendah di ladang menghadapi penganiayaan, selain menyalahkan industri kerana mendorong pemusnahan hutan untuk memberi laluan kepada ladang pertanian.
Tuduhan terbaharu itu muncul dalam laporan kumpulan hak asasi manusia, Finnwatch, yang sejak beberapa tahun mengikuti rapat masalah di IOI, pembekal kepada syarikat gergasi termasuk Nestle dan Unilever.
Kumpulan yang berpangkalan di Finland itu memfokuskan tanggungjawab korporat, menemubual pekerja India di sebuah ladang kelapa sawit IOI di Pahang.
Para pekerja mengadu penginapan teruk, dengan beberapa orang terpaksa tidur di lantai kerana mereka tidak diberi katil, selain tandas serta dapur dalam keadaan buruk, kata laporan itu.
Pekerja hanya diberikan katil setelah Finnwatch membuat aduan.
Seorang kakitangan didakwa telah menampar pekerja, ada yang mengadu membayar wang pengambilan pekerja yang tinggi, melanggar dasar IOI sendiri, malah mereka tidak diberi salinan kontrak pekerjaan mereka, kata kumpulan itu.
Mereka juga tidak berpuas hati dengan dasar upah mengikut prestasi yang rumit, kata syarikat itu.
Finnwatch berkata beberapa masalah telah diperbaiki selepas diajukan, namun aduan tersebut juga mengangkat isu “jurang yang lebih luas dalam dasar pengambilan dan upah Kumpulan IOI, selain komitmen untuk menghormati hak asasi manusia.”
Bagaimanapun, IOI tidak mengulas mengenai laporan tersebut.
Tahun lalu, Amerika Syarikat melarang import minyak sawit dari syarikat Malaysia Sime Darby Plantation dan FGV Holdings atas tuduhan mereka menganiaya pekerja asing. – AFP, 30 Jun, 2021.
Komen