Saifuddin gesa kerajaan biaya subsidi minyak masak.


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail turut memberi beberapa cadangan kepada kerajaan dalam memastikan penurunan harga minyak masak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2021.

KERAJAAN perlu membiaya subsidi bekalan minyak masak bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga, kata Saifuddin Nasution Ismail.

“Jika ini tidak boleh dijadikan dasar tetap kerana kekangan biaya, kerajaan boleh laksanakan sebagai “one off”.

“Langkah ini dengan serta merta akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna,” katanya yang juga bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan harga dua peringkat untuk harga minyak sawit mentah.

“Untuk tujuan eksport harga minyak sawit dijual mengikut harga pasaran. Untuk tujuan domestik membuat minyak masak kerajaan boleh memperkenalkan harga yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang.

“Bukan sahaja harga minyak masak tanpa subsidi murah bahkan subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurangan.

“Cadangan ini saya kira munasabah memandangkan hanya 1 juta tan minyak sawit mentah digunakan untuk tujuan ini, berbanding lebih 20 juta untuk tujuan eksport yang memberikan pendapatan lumayan kepada industri ini mencecah RM70 bilion,” kata setiausaha agung PKR.

Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan kerajaan bahawa kenaikan harga minyak masak ini munasabah.

Katanya kenaikan lebih 100% berbanding harga Disember 2019 dahulu adalah tidak munasabah dan kerajaan perlu mengambil suatu tindakan segera.

Semalam, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata harga pasaran terkini minyak masak RM30 untuk botol 5 kilogram adalah munasabah berikutan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

Beliau berkata purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.

Katanya ini menyebabkan harga minyak masak di kilang berada pada kadar RM4.50 hingga RM5 sekilogram.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata pengguna masih ada pilihan untuk membeli minyak masak dalam polibeg yang dijual lebih murah sekiranya mendapati terdapat kenaikan harga minyak masak dalam botol di pasaran.

Beliau berkata minyak masak dalam bungkusan polieg 1kg telah disubsidikan oleh kerajaan di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) itu, boleh didapati di semua premis jualan termasuk di pasar raya dan kedai runcit.

Saifuddin juga berkata kerajaan boleh mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran hari ini.

“Saya menggesa kerajaan untuk segera bertindak bagi membuat keputusan yang betul menangani kenaikan harga minyak masak yang sudah sampai pada tahap yang sangat membebankan rakyat.”

Saifuddin berkata terdapat kebimbangan mengenai kumpulan B40 dan M40 yang paling terjejas akibat pandemik.

“Hilang kerja dan terjejas punca pendapatan memberi kesan kepada kuasa beli kelompok ini. Ini kerana 40% daripada pendapatan bulanan mereka akan dibelanjakan untuk membeli keperluan makanan.

“Oleh demikian ketika harga barangan meningkat, tekanan dialami kelompok ini lebih berat. Sebab itu kenaikan harga minyak masak umpamanya menjadi isu hangat.

Menurutnya Malaysia merupakan antara negara pengeksport minyak sawit mentah dunia yang terbesar.

“Kita mengeksport 27 juta tan minyak sawit. Hanya 1 juta tan minyak sawit mentah digunakan untuk kegunaan tempatan khususnya tujuan minyak masak. 
“Daripada 1 juta tan ini minyak masak bersubsidi mewakili 0.7 juta tan, bakinya 0.3 juta tan ialah minyak masak tanpa subsidi.”

Tambah Saifuddin, minyak masak bersubsidi mudah dikenali di pasaran iaitu bungkusan plastic 1 kg dengan harga tetap RM2.50.

“Kerajaan membiayai kos subsidi sebesar RM400 juta setahun. Minyak masak dalam botol 1kg atau 5kg atau selain bungkusan plastik 1kg adalah minyak masak tanpa subsidi.

“Minyak masak inilah yang menyaksikan peningkatan harga luar biasa sekarang yang menimbulkan gelisah dan kemarahan rakyat.” – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen