TIMBUL kekeliruan di Kota Kinabalu hari ini yang merupakan hari pertama Sabah memberi kelonggaran kepada beberapa kegiatan sosial dan ekonomi termasuk membuka kedai makan dan hotel.
Pemilik kedai kopi berdepan masalah dengan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan mengenai pembukaan premis mereka untuk menerima pelanggan, kata ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Pengerusi Persatuan Kedai Kopi Pantai Barat Sabah Yong Chee Yun.
Chan berkata pemilik kedai kopi dan penjaja makanan di Damai, Lintas dan Foh Sang mengadu kepadanya bahawa mereka menerima amaran daripada pegawai berkaitan agar tidak membuka meja untuk menerima pelanggan makan di tempat, kerana prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu masih belum dikeluarkan.
Chan berkata pemilik kedai kopi dan peniaga gerai turut memaklumkan mereka diancam untuk dikompaun kerana melanggar SOP sekiranya mula menerima pelanggan sebelum SOP dikeluarkan.
“Saya mendapati tindakan pegawai penguatkuasa itu agak keterlaluan,” kata ahli Parlimen DAP.
Semalam Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengumumkan makan di tempat dibenarkan berkuat kuasa hari ini.
“Mengapa pegawai berkenaan terlalu cepat untuk menghukum pemilik kedai kopi dan penjaja sedangkan kerajaan yang belum keluarkan SOP,” kata Chan.
“Dengan ketiadaan SOP, tidak bermakna pengumuman ketua menteri boleh diketepikan kerana SOP untuk makan di premis sepatutnya berkuat kuasa automatik,” tambahnya.
Sementara itu Yong dari persatuan kedai kopi memberitahu The Malaysian Insight ahli persatuannya di Damai membuat aduan mengenai pegawai penguatkuasa.
“Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku.”
Yong berkata ahli persatuan juga keliru dengan pengumuman yang dibuat oleh ketua menteri kerana tiada butiran lanjut.
“Beliau menyatakan kita boleh terima pelanggan, tetapi tidak menyatakan bagaimana caranya dan masa operasi. Bolehkah kami buka selepas 7 malam?” soal Yong.
Di Sabah, waktu operasi perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah dari jam 7 pagi hingga 7 malam.– 29 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen