SABAH memberi kelonggaran kepada beberapa kegiatan sosial dan ekonomi termasuk membuka kedai makan untuk makan di tempat bermula esok, umum Ketua Menteri Hajiji Noor, ketika larangan sama terus berkuat kuasa di seluruh negara.
Sebahagian besar sekatan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara bagaimanapun dikekalkan di Sabah, katanya.
“Beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya ‘dine-in’ di restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, membuka gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut,” katanya dalam satu kenyataan yang dihebahkan melalui Facebook beliau hari ini.
Berdasarkan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sekarang, makan di tempat hanya dibenarkan semasa fasa ketiga pelan pemulihan sementara kedai gunting rambut boleh dibuka semasa fasa kedua.
Peralihan fasa pelan pemulihan ditentukan dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19.
Sabah melarang makan di tempat sejak 29 Mei selepas kes jangkitan Covid-19 di negeri itu meningkat tinggi. Larangan itu diteruskan apabila sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan di seluruh negara bermula pada 1 Jun lalu.
Mulai esok, Sabah juga membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal, kata Hajiji.
Pada masa sama, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, serta kilang berasaskan kayu dan perabot, tambahnya.
“Perincian SOP Negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak kegiatan ekonomi dan sosial akan dibuka apabila Fasa 1 pelan pemulihan negara beralih ke fasa-fasa berikutnya berdasarkan keadaan semasa penularan Covid-19 dan program imunisasinya. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/324070
Di bawah Fasa 2 nanti, misalnya, kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut akan diberi kebenaran untuk dibuka.
Di bawah Fasa 3, makan di tempat dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja manakala teksi dan perkhidmatan e-hailing serta kenderaan persendirian dibenarkan untuk tiga orang termasuk pemandu.
Fasa pertama akan beralih ke fasa kedua apabila purata kes harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Fasa kedua berakhir diganti dengan fasa ketiga apabila purata kes harian turun ke paras bawah 2,000, yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini sementara fasa keempat dijangka berlaku seawal akhir Oktober 2021. – 28 Jun, 2021.
Komen