LIM Guan Eng mempersoalkan kenapa moratorium enam bulan buat rakyat bukan tanpa faedah.
Bekas menteri kewangan itu berkata moratorium tanpa faedah tidak disebutkan langsung.
“Tiada subsidi sewa mahupun moratorium pinjaman bank tanpa faedah.
“Perlu lebih banyak geran, serta subsidi upah dan utiliti,” kata setiausaha agung DAP itu dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai moratorium enam bulan pembayaran pinjaman untuk semua individu dalam semua kumpulan pendapatan.
Muhyiddin berkata semua peminjam dari kelas ekonomi golongan B40, M40 atau T20 serta usahawan mikro layak menerima skim itu.
Lim berkata tidak ada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada pemohon telah hilang pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya.
Lim yang juga ahli Parlimen Bagan turut mempersoalkan adakah Putrajaya akan melantik 23,000 pegawai perubatan kontrak dan 2,000 pegawai farmasi kontrak sebagai pekerja tetap bagi meningkatkan usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Adakah Makcik Kiah akan pulih daripada ‘total lockdown’ yang tidak berpenghujung ini? #KerajaanGagal,” katanya merujuk kepada suri rumah fiksyen yang pernah disebut dalam sidang media Muhyiddin sebelum ini.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, walaupun pakej bantuan terbaharu ini ditunggu-tunggu oleh banyak pihak, masih ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Apa yang diumum PM8 (Muhyiddin) tadi bukanlah moratorium automatik. Dan bukan tanpa faedah.
“Bank tak rugi satu sen pun. Malah akan mengaut lebih keuntungan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Najib berkata peminjam biasa masih perlu memohon untuk moratorium tetapi dijanji akan diberi secara automatik manakala peminjam dari kategori perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih perlu semakan dan kelulusan bank unuk memberi moratorium.
“Namun, perjanjian pindaan syarat-syarat baharu masih perlu ditanda tangan dan ini mengambarkan bahawa tempoh bayaran peminjam bakal dilanjutkan bertahun-tahun lagi walaupun tempoh moratorium cuma sehingga enam bulan sebab bank tidak mengecualikan sebarang caj faedah.
“Ini adalah antara aduan yang diterima sejak tahun lepas oleh peminjam yang rasa tertipu dengan bank yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.
“Sebab itu, PM8 suruh fikir baik-baik sebelum memohon moratorium ‘automatik’ ini sebab ianya akan tambah komitmen pada peminjam.
“Seperti biasa, bank tak akan rugi. Malah akan tambah keuntungan.
“Moratorium kali ini juga tidak sama dengan tahun lepas di mana faedah serta penalti bagi pinjaman sewa beli (tapi bukan untuk pinjaman lain) telah dikecualikan,” kata Najib. – 28 Jun, 2021.
Komen