SEMUA peminjam individu dan usahawan mikro akan mendapat moratorium selama enam bulan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ia akan diberikan kepada semua peminjam dari kelas ekonomi golongan B40, M40 atau T20 katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyan dan Pemulihan (Pemulih) petang ini.
“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021.
“Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya ketika mengumumkan inisiatif bantuan itu hari ini.
Jelasnya, pemohon tidak perlu memenuhi syarat pengurangan pendapatan, tidak perlu mengemukakan dokumen dan dan tiada semakan akan dibuat sama ada pemohon hilang pekerjaan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya.
Jelasnya, pakej bantuan Pemerkasa Tambahan yang diumumnya bulan lalu hanya memanfaatkan 250,000 peminjam yang mendapat kelulusan secara automatik.
Moratorium menyeluruh kali ini diberikan kerana kesukaran dialami oleh kesemua golongan.
Jelasnya, tanggungan golongan M40 dan T20 juga meningkat kerana perlu membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat Covid-19.
Selain itu, peminjam pendidikan pula mendapat moratorium secara bersasar juga dapat menangguhkan bayaran balik pinjaman daripada agensi kerajaan, katanya.
Ia antara lain melibatkan peminjam dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara yang mendapat moratorium bersasar selama tiga bulan.
Peminjam skim pinjaman Pelajaran Persekutuan bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan pula mendapat moratorium sehingga enam bulan.
Untuk skim Pinjaman Pelajaran Mara pula, peminjam mendapat penangguhan hingga tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan
Peminjam dari Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) pula mendapat penangguhan bayaran balik selama tiga bulan, kata Muhyiddin.
“Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.”
Beliau juga mengumumkan, pemegang polisi insurans dan takaful juga boleh memohon menangguhkan bayaran premium insurans dan sumbangan takaful.
Tempoh bayaran itu dilanjutkan sehingga 31 Disember, katanya.
“Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga.
“Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak RM2.6 bilion.”
Inisiatif itu diumumkan sehari selepas Putrajaya melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu lagi dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara. – 28 Jun, 2021.
Komen