Peniaga gerai bergelut untuk bertahan ketika pandemik


Elill Easwaran

PENJUAL gerai makanan di tepi jalan terus berusaha menjana pendapatan walaupun wabak Covid-19 menjejaskan perniagaan mereka.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa perniagaan terus merosot apabila Putrajaya melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rata-rata mereka memberitahu perniagaan merosot sekitar 50% dan walaupun mereka dibenarkan beroperasi lebih lama, mereka tidak percaya keadaan akan bertambah baik.

Penjual mee wantan, Chan Boon Seng, 50, berkata perniagaannya merosot 50% sejak PKP dilanjutkan.

“Oleh kerana sekatan pergerakan penuh, orang ramai tidak keluar membeli makanan selain masa yang terhad untuk beroperasi.

“Dulu saya mampu menjana pendapatan RM300 hingga RM400 sehari tetapi kini hanya memperoleh RM100 sehari,” katanya. 

Chan yang mengusahakan gerai bersama abangnya di Jalan Thambi Pillay berkata kerajaan harus mempunyai prosedur operasi standard untuk perniagaan makanan.

“Ketika ini, walaupun saya ditahan oleh pihak berkuasa, saya lebih rela masuk penjara kerana saya tidak mempunyai wang untuk membayar denda,” katanya. 

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan yang dilaksanakan sekarang diteruskan sehingga ketiga-tiga petunjuk dalam pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19 dicapai, antaranya kes jangkitan baharu kurang 4,000 sehari.

Perdana menteri berkata kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyrakat pada Isnin atau Selasa.

Negara dikenakan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun lalu.

Penjual teh Masala, Haswaani Subramaniam, 26, berkata perniagaannya merosot lebih 50% sejak PKP dilaksanakan.

Pengusaha gerai makanan nasi campur Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata perniagaannya sudah beropasi di Jalan Tun Sambanthan 4 selama 30 tahun.

Dia berkata sejak wabak bermula, perniagaannya merosot lebih 70%.

“Sebilangan besar pelanggan saya adalah kontraktor dan mereka yang bekerja di pejabat. Disebabkan PKP, perniagaan saya jatuh teruk apabila kebanyakan syarikat dilarang beroperasi.

“Saya terpaksa melepaskan dua pekerja saya kerana tidak mampu membayar gaji bulanan mereka,” katanya.

Siti yang dulu hanya menjual nasi campur kini menjual kuih muih dengan harapan dapat menjana pendapatan tambahan.

Krishnamurthy Thangavelu, 60,  yang membuka gerai bertentangan NU Sentral berkata, pekerja pejabat di kawasan itu yang merupakan pelanggan utamanya kini bekerja dari rumah.

Jurugambar perkahwinan itu terpaksa menjual kameranya bagi mengumpulkan wang perniagaannya.

“Sejak PKP, saya hanya mampu meraih RM50 sehari sedangkan pada Disember tahun lalu saya boleh dapat sekitar RM200.

“Walaupun kerajaan melanjutkan waktu operasi, saya tidak yakin dapat mendapat keuntungan kerana masih ramai tidak dibenarkan pergi ke pejabat,” katanya.

Beliau menambah, mereka yang bekerja di pusat membeli-belah juga merupakan pelanggannya namun mereka juga tidak dibenarkan bekerja kerana operasi ditutup.

Rata-rata peniaga gerai makanan di tepi jalan berdepan kerugian teruk selepas kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2021.

Penjual teh Masala yang menggunakan basikal bagi menjual airnya, Haswaani Subramaniam, 26, berkata perniagaannya merosot lebih 50%.

“Saya biasa menjual enam bekas teh sehari tetapi kini perniagaan merosot menjadi tiga bekas sehari,” katanya.

Dia berkata, hujung minggu adalah paling teruk apabila hampir tidak ada orang berada di kawasan berkenaan.

Dia juga bersetuju walaupun mereka dibenarkan beroperasi lebih lama, tidak ada banyak perbezaan yang berlaku kerana orang ramai umumnya hanya duduk di rumah.

Adik lelaki Haswaani, seorang graduan jurutera memulakan perniagaan itu tahun lalu selepas dia tidak mendapat sebarang pekerjaan semasa wabak itu.

Disebabkan mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini, mereka mempunyai dua basikal di mana satu terletak berhadapan NU Sentral dan satu lagi di Leboh Ampang.

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk membenarkan semua restoran dan kedai makan dibuka dari jam 6 pagi sehingga 10 malam bermula hari ini. 

Sebelum ini , semua premis makanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam di bawah PKP penuh yang bermula pada 1 Jun dan dilanjutkan sehingga 28 Jun. 

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, Fasa 1 PKP akan dikekalkan di bawah Pelan Pemulihan Negara sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai. 

Ismail Sabri berkata, untuk Fasa 1, SOP PKP 3.0 masih diteruskan di mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk sektor perkhidmatan penting yang disenaraikan dalam senarai positif dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – 28 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen