SEKATAN pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan ditamatkan esok, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, sekatan yang dilaksanakan sekarang diteruskan sehingga ketiga-tiga petunjuk dalam pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19 dicapai, antaranya kes jangkitan baharu kurang 4,000 sehari.
Tiga petunjuk itu ialah kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19.
“Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.
“Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap…kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan,” katanya dipetik Bernama.
Tambahnya lagi, Putrajaya akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyrakat pada Isnin atau Selasa.
Semalam, bayangan bantuan akan diberikan Putrajaya dalam bentuk moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Sinar KWSP dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bantuan itu dalam kenyataan dikeluarkan di Facebooknya, yang turut menyatakan perbincangaan antaranya dengan Muhyiddin dan agensi terlibat sudah dibuat.
Malaysia menguatkuasa PKP Fasa Pertama pada 1 Jun hingga 14 Jun sebelum dilanjutkan 14 hari lagi yang dijadualkan akan tamat esok, 28 Jun.
Pada 15 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara sebagai panduan negara keluar daripada pandemik Covid-19.
Katanya, pelan itu dibahagikan kepada empat fasa dengan sekatan pergerakan penuh dalam fasa pertama di mana kes Covid-19 kekal tinggi dan sistem kesihatan negara berada pada kapasiti penuh. Kadar vaksinisasi negara masih rendah.
Fasa kedua akan dilaksanakan apabila kes berkurangan di bawah 4,000 dan 10% rakyat sudah divaksin.
Fasa ketiga akan dilaksanakan apabila jumlah kes turun kepada 2,000 sehari dan 40% penduduk sudah divaksin, manakala fasa keempat akan dikuatkuasa apabila kes kurang 500 sehari dan 60% penduduk menerima kedua-dua dos vaksin.
Fasa ketiga dijangka bermula pada September atau Oktober dan fasa keempat dijadualkan pada November.
Setakat semalam, pandemik Covid-19 telah mengorbankan 4,884 orang di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata wujud penurunan sedikit berkaitan kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU), 866 orang. Daripada jumlah ini, 435 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya lagi, jumlah kes baharu semalam adalah 5,803 berbanding 5,193 kes pulih.
Angka itu menjadikan jumlah kes pulih Covid-19 di Malaysia pada 662,932, dan keseluruhan kes adalah 728,462.
Kes aktif pula setakat ini adalah 60,646.
Putrajaya dalam usaha memperhebat program vaksinisasi dan setakat semalam 7,226,949 orang sudah menerima vaksin di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pula.
Daripada jumlah itu, 5,204,993 menerima dos pertama, manakala 2,021,956 sudah menerima suntikan dua dos vaksin. – 27 Jun, 2021.
Komen