JANGKITAN baharu Covid-19 kekal lebih 5,000 kes setakat tengah hari tadi, umum Kementerian Kesihatan, menjadikan semalam hari kelima berturut-turut kes dikesan melebihi paras tersebut.
Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan sebanyak 5,586 lagi kes Covid-19 dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sebelumnya, dengan Selangor kekal lebih 2,000 kes.
Sepanjang tiga hari lalu, antara 24-26 Jun, jangkitan baharu Covid-19 berlegar dalam lingkungan lebih 5,800 kes.
Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata fasa pertama kawalan pergerakan akan diteruskan sehingga ketiga-tiga petunjuk dalam pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19 dicapai, antaranya kes jangkitan baharu kurang 4,000 sehari.
Kementerian Kesihatan mengesan 2,212 lagi kes Covid-19 di Selangor, diikuti paling dekat di belakang oleh Kuala Lumpur (628), Sarawak (513), Negeri Sembilan (501) dan Melaka (380).
Perlis tidak mengesan kes baharu, kata kementerian.
Perlis juga kini berada dalam zon jingga selepas hanya 24 saja lagi kes aktif di negeri itu dalam tempoh 14 hari lalu, berdasarkan data jabatan kesihatan negeri.

Pada 15 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan empat fasa pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19.
Empat fasa itu ditandai dengan tiga petunjuk iaitu kadar jangkitan harian yang berkurangan, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) serta jumlah penduduk yang lengkap disuntik dua dos vaksin Covid1-9.
Fasa pertama akan beralih ke fasa kedua apabila purata kes harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Fasa kedua berakhir diganti dengan fasa ketiga apabila purata kes harian turun ke paras bawah 2,000, yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini sementara fasa keempat dijangka berlaku seawal akhir Oktober 2021. – 27 Jun, 2021.
Komen