KEKURANGAN penajaan adalah sebab utama bintang terkenal tidak mengadakan persembahan di Malaysia, kata sumber industri musik dan hiburan negara.
Situasi ini wujud kerana Malaysia dilihat semakin cenderung menjadi negara konservatif Islam, menyebabkan syarikat yang menjual produk tidak halal seperti alkohol enggan memberikan tajaan.
Bantahan tidak timbul di negara jiran sekiranya syarikat tersebut memberikan tajaan, sedangkan di Malaysia ia boleh menjadi isu besar menyebabkan penganjur acara sukar mendapatkan tajaan dan memberi kesan kepada keuntungan mereka.
“Antara sebab utama adalah penajaan. Sokongan kewangan sangat teruk di sini. Thailand ada pelbagai jenama termasuk alkohol, di Indonesia pula jenama rokok masih menaja,” kata pengurus artis Joe Lee.
Celine Dion adalah bintang terkenal terbaru yang tidak singgah di Malaysia untuk melakukan persembahan sempena konsert jelajah Asia Tenggaranya yang pertama tahun ini. Jelajah itu yang diumumkan semalam menyenaraikan Tokyo, Jakarta, Singapura, Manila dan Bangkok tetapi Kuala Lumpur tidak tersenarai.
Kali terakhir beliau mengadakan persembahan di Malaysia adalah pada Taking Chances World Tour 2008.
Lee berkata tanpa tajaan, penganjur dan promoter sukar buat untung.
“Bayaran persembahan terlalu besar selepas tukaran mata wang, dan dengan kekurangan tajaan, tidak mungkin penganjur/promoter boleh untung. Dalam kebanyakan kes, pulang modal pun susah,” katanya.
__full.jpg)
Aktivis industri dan pengurus acara Jennifer Thompson juga bersetuju bahawa soal utama adalah isu duit.
“Ia soal duit yang banyak. Sukar bila kami tiada penaja. Dan ia juga soal ekonomi. Adakah kami akan boleh buat untung. Jika harga tiket terlalu mahal, bolehkan orang beli? Kita bukan negara musik,” kata Thompson.
Selain Celine Dion, bintang terkenal lain yang tidak singgah di Malaysia baru-baru ini ialah Coldplay yang mengadakan persembahan di Bangkok tahun lepas.
Selain kekurangan tajaan, keluasan pasaran juga memainkan peranan. Thompson mengatakan jumlah peminat musik dan mereka yang membeli tiket untuk konsert di Indonesia dan Thailand lebih besar berbanding Malaysia.
“Jualan album di Indonesia cecah berjuta. Jualan album di Malaysia dahulunya pula hanyalah ratusan ribu. Sekarang, jualan album artis baru hanya boleh cecah 5,000 atau 10,000 salinan,” kata Thompson.
Punca lain adalah karenah birokrasi dan pemantauan berasaskan agama, kata Lee.
Pihak berkuasa di Malaysia menetapkan peraturan ketat untuk penghibur antarabangsa termasuklah cara pemakaian mereka, sedangkan artis tidak suka diarah apa yang boleh atau tidak boleh mereka lakukan, kata Thompson.
“Mereka perlukan ruang dan keupayaan untuk melakukan persembahan terbaik,” katanya lagi.
Pada 2001, konsert Megadeth dibatalkan kerana tanggapan buruk mengenai imej dan musik kumpulan itu. Kumpulan metal dari Norway, Mayhem juga menerima nasib sama pada 2005.
Pada 2007 pula, Beyonce membatalkan konsertnya di sini kerana peraturan ketat berkaitan pemakaian oleh kerajaan. Beberapa laporan menyebut pembatalan itu berlaku disebabkan bantahan beberapa kumpulan konservatif.
Konsert Ratu Dangdut, Inul Daratista pula diharamkan pada 2008 selepas wujud bantahan berkaitan tariannya yang dianggap “lucah”.
__full.jpg)
Bintang antarabangsa terakhir melakukan persembahan di Malaysia ialah Ed Sheeran. Persembahannya di Malaysia November lalu ditaja oleh syarikat telekomunikasi, UMobile.
Pada Febuari akan datang, kumpulan Incubus pula akan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Tunetalk adalah penaja utama.
Tetapi untuk bintang lain, peminat tegar mereka di Malaysia terpaksa berhabis duit pergi ke negara luar untuk menonton persembahan penyanyi pujaan mereka.
Seri Kamal, seorang penulis bebas berusia 38 tahun berkata beliau pergi ke Indonesia, Bangkok dan Singapura untuk menonton persembahan Muse, Sigur Ros dan The Rolling Stones.
Seorang lagi penulis, Joe Kaos Jr mengatakan dia pergi ke UK, New Zealand dan Singapura untuk menonton konsert dan persembahan artis diminatinya.
“Saya pergi kerana kumpulan yang saya mahu tonton tidak akan datang ke Malaysia. Alasannya adalah kerana ia terlalu mahal dan banyak sekatan yang perlu dipatuhi menyebabkan bandar berhampiran seperti Bangkok dan Singapura lebih menarik (untuk buat persembahan),” kata Joe.
Antara persembahan yang disaksikannya termasuk konsert kumpulan Foo Fighters yang muncul dalam persembahan di Bangkok dan Singapura baru-baru ini, katanya.
Kos bukanlah penghalang bagi peminat, tambahnya.
“Festival musik yang akan saya pergi nanti, harga tiketnya berharga RM1,000. Kemudian saya terpaksa bayar kos penerbangan yang boleh cecah RM3,000. Penginapan lagi. Tetapi (berbaloi kerana) semua kumpulan yang buat persembahan di festival itu tak akan datang pun ke Kuala Lumpur,” katanya. – 14 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan