Celine Dion jelajah Asia Tenggara tetapi tidak datang KL


Mungkin timbul sedikit rasa sedih buat peminat Celine Dion kerana tidak menyenaraikan Kuala Lumpur dalam siri jelajahnya. Namun buat peminat setia penyanyi yang terkenal dengan lagu tema dalam filem Titanic itu, mungkin ia tidak menjadi masalah memandangkan banyak lagi bandar di Asia Tenggara bakal beliau jelajahi. – Gambar AFP, 12 Januari, 2018.

PENYANYI Celine Dion akan mengadakan konsert di Asia Tenggara pertengahan tahun ini tetapi Kuala Lumpur tidak ada dalam senarai persembahannya.

Dion yang terkenal dengan lagu tema filem Titanic, My Heart Will Go On itu akan naik pentas di Jakarta, Singapura, Bangkok dan Manila.

Konsert jelajah pada Julai dan Ogos itu juga akan menghantar Dion ke Tokyo, Macao dan Taipei.

“Saya tidak sabar untuk bersama anda. Saya tidak sabar mahu menyanyi untuk anda. Saya tidak sabar untuk berjumpa lagi. Jaga diri,” kata Dion dalam satu video mengumumkan konsert jelajah itu yang dinaikkan ke Twitter.

Ini bukan kali pertama artis ternama dunia tidak menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai pentas destinasi persembahan mereka apabila mengadakan konsert di Asia Tenggara.

Pada Mac 2015, kumpulan pujaan remaja One Direction mengadakan jelajah On The Road Again juga di Jakarta, Singapura, Bangkok dan Manila – tetapi tidak di Kuala Lumpur.

Dion bagaimanapun pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur semasa jelajahnya Taking Chances pada 2008.

Dalam siri jelajah kali ini, Dion akan membuat dua persembahan di Singapura pada 3 dan 4 Julai, yang pertama baginya di republik itu.

Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan konsert Celine Dion Live 2018 Tour in Jakarta akan berlangsung Sabtu 7 Julai di Sentul International Convention Center, memetik pengumuman promoter Sound Rhythm di Instagram.

 

Konsert Dion di Manila pada 19 Julai istimewa bagi peminatnya di Filipina kerana beliau pernah membatalkan pada saat-saat akhir persembahannya di sana pada 2014 untuk menjaga suaminya René Angélil yang sakit dan kemudian meninggal dunia.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan stesen televisyen itu, Dion berharap dapat mempersembahkan repertoire berbeza bagi setiap konsertnya dalam jelajah kali ini.

Penyanyi pop yang sudah menyanyi lebih 30 tahun ini pernah menang lima Anugerah Grammy termasuk Album Terbaik dan Album Pop Terbaik bagi Falling Into You pada 1996 serta Rekod Terbaik dan Penyanyi Pop Wanita Terbaik melalui My Heart Will Go On pada 1998.

Lagu dari filem Titanic itu juga menang Anugerah Academy pada tahun yang sama. Dion juga pernah menang Anugerah Academy Lagu Terbaik melalui Beauty and The Beast duet bersama Peabo Bryson pada 1992.

Beliau kini membuat persembahan harian di Las Vegas yang telah memecahkan rekod persembahan paling lama bertahan iaitu lebih 1,000 malam dan dihadiri lebih empat juta penonton, dan disifatkan oleh pengkritik sebagai “persembahan terbaik di Las Vegas sejak Elvis Presley”. 

Siri jelajah Asia Pasifik Dion akan ditutup dengan konsert di Bangkok pada 23 Julai depan. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen