9 ketua bahagian tolak pengerusi Bersatu Kedah


Sembilan ketua bahagian Bersatu Kedah mahu pucuk pimpinan parti menggantikan pengerusi negeri menjelang pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

SEMBILAN ketua bahagian Bersatu Kedah mahu pucuk pimpinan parti menggantikan pengerusi negeri Mohd Suhaimi Abdullah dengan pemimpin lain yang lebih boleh diharap untuk menerajui parti negeri, menjelang pilihan raya umum akan datang. 

Mereka membuat permohonan itu melalui sepucuk surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin awal bulan ini, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Kami dengan fikiran yang jelas, waras dan dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan mana-mana pihak ingin mencadangkan nama baru bagi menggantikan YBhg Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah…,” kata mereka dalam surat itu.

Perkembangan ini adalah kocak baharu dalam Bersatu Kedah selepas perpecahan dalaman parti susulan perubahan politik nasional yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diganti oleh Perikatan Nasional (PN) pada Mac tahun lalu.

Ketika itu, sekumpulan pemimpin dan ahli Bersatu sama ada keluar parti atau dikenakan tindakan pecat selepas tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin yang membawa parti keluar daripada PH.

Permohonan menggantikan pengerusi Bersatu Kedah dibuat melalui sepucuk surat kepada presiden parti Muhyiddin Yassin awal bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.

Tiga calon pengganti

Sembilan ketua bahagian berkenaan mencadangkan tiga nama untuk pertimbangan Muhyiddin. Tiga nama itu ialah Ketua Bahagian Baling yang juga timbalan pengerusi negeri Mohd Taufik Yaakob, Ketua Bahagian Sik Nazri Abu Hassan, dan Ketua Bahagian Kubang Pasu Halimaton Saadiah Saad.

Taufik yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengesahkan menandatangi surat berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

“Kami serahkan kepada presiden parti untuk buat keputusan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.

Beliau juga menegaskan ini bukan soal peribadi tetapi urusan dalaman parti.

Surat kepada Muhyiddin ditandatangani oleh Taufik dan Halimaton bersama tujuh lagi ketua bahagian yang mewakili Padang Serai, Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Kedah, Merbok, Jerlun, dan Langkawi.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Halimaton yang juga Adun Bukit Kayu Hitam merangkap exco kerajaan negeri untuk mendapatkan komen tetapi tidak berbalas.

Sementara itu, ketua bahagian Kulim Bandar Bahru dan Alor Setar menurunkan nama pada surat tetapi tanpa tandatangan, tanda berkecuali, jelas sumber.

Nazri yang juga setiausaha Bersatu Kedah bagaimanapun tidak menandatangani surat penolakan Mohd Suhaimi sebagai pengerusi badan perhubungan negeri.

Tiga lagi ketua bahagian yang tidak menyokong desakan ini ialah Pendang, Sungai Petani, dan Jerai yang diketuai sendiri oleh Mohd Suhaimi.

Ketua Bersatu Pendang Abdul Razak Khamis adalah juga bendahari parti negeri.

16 alasan penolakan

Surat itu menyenaraikan 16 alasan kenapa mereka menolak kepimpinan Mohd Suhaimi, melibatkan isu kepimpinan, kegagalan menetapkan hala tuju serta kepincangan pengurusan termasuk soal kewangan.

Surat itu antara lain mendakwa Suhaimi yang tinggal di Kuala Lumpur hanya balik ke Kedah untuk mesyuarat parti, dan beliau sukar untuk dihubungi.

Beliau juga didakwa tidak membentangkan penyata kewangan parti serta tidak telus dalam soal sumbangan dana kepada parti dan perbelanjaannya.

Mohd Suhaimi yang dihubungi awal minggu ini enggan mengulas lanjut.

“Fitnah,” jawabnya pendek, melalui mesej di WhatsApp. 

Bekas senator itu juga memberitahu beliau sedang pulih daripada jangkitan Covid-19 selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

The Malaysian Insight difahamkan surat bertarikh 3 Jun itu sudah diserahkan kepada pihak ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor dan sedang dalam perhatian pucuk pimpinan parti.

Seorang sumber parti memberitahu permintaan Bersatu Kedah dalam pengetahuan Muhyiddin.

The Malaysian Insight juga difahamkan ketua-ketua bahagian Bersatu Kedah mengadakan dua pertemuan berasingan baru-baru ini dengan Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, yang juga pengerusi biro pengurusan parti.

Pertemuan itu membincangkan permintaan ketua-ketua bahagian Bersatu Kedah dan kandungan surat mereka kepada Muhyiddin, kata sumber.

Pada tahun lalu, Bersatu Kedah didakwa lumpuh selepas sekumpulan pemimpin dan ahli parti menggerakkan kempen Bersatu Blackout dan seterusnya mengikut Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

PN menggantikan kerajaan PH di Kedah pada pertengahan Mei 2020, dengan Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor menggantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar. – 26 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen