Akar umbi Bersatu tekad teruskan kempen 'blackout'


Zaim Ibrahim

Pemimpin Bersatu yang terpinggir kini memulakan kempen 'Bersatu Blackout'. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2020.

AHLI akar umbi Bersatu di Kedah akan meneruskan kempen memulihkan Bersatu untuk kembali ke landasan asal, selepas Pengerusinya yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad memulakan jelajah penerangan mengenai kepincangan parti di bawah teraju Presiden Muhyiddin Yassin di negeri itu, malam tadi.

Kata mereka, Bersatu ditubuhkan untuk melawan kleptokrasi tetapi sekarang boleh pula bekerjasama dengan Umno dan PAS yang ditentang semasa Pilihan Raya Umum-14 dua tahun lalu.

Ahli Bersatu Bahagian Jerlun Fazil Mat Enda berkata ahli-ahli Bersatu perlu faham, objektif penubuhan parti itu ialah melawan kleptokrasi.

“Prinsip awal penubuhan Bersatu ialah membanteras parti kleptokrasi dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.

“Perkara itu juga kita akan usaha beri penjelasan kepada ahli-ahli akar umbi yang lain,” katanya, ketika ditemui di Hotel TH di Alor Setar, tempat ceramah Dr Mahathir berlangsung malam tadi.

Menurut Fazil, pihaknya akan meneruskan kempen itu walaupun dalam skala kecil.

“Kalau ada 50 orang pun hadirin (kita buat) sebab yang penting objektif itu sampai,” jelasnya.

Fazil yakin parti yang diasaskan pada 2016 masih boleh diselamatkan.

“Pertukaran kerajaan yang berlaku tempoh hari adalah isu pengkhianatan kerana ada ahli Bersatu sanggup bersama dengan kumpulan kleptokrasi.

“Jadi, Bersatu masih boleh dipulihkan jika ahli akar umbi mendapat penjelasan sebenar tentang apa yang berlaku,” katanya.

Antara pemimpin Bersatu yang hadir pada ceramah di Alor Setar, semalam. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2020.

Ahli Bersatu Bukit Bendera Mohd Wazeer Seni Mohamad berkata beliau yakin ramai ahli akar umbi masih menyokong Dr Mahathir untuk memimpin Bersatu.

Beliau yang juga ahli seumur hidup Bersatu berkata hanya ketua bahagian atau ketua cawangan menyokong Muhyiddin tetapi tidak bagi ahli-ahli bawahan.

“Saya pilih untuk menjadi ahli seumur hidup kerana tahu prinsip kita ialah melawan kleptokrasi. 

“Selagi Dr Mahathir masih hidup dan pimpinan lain berpegang pada prinsip ini, saya yakin Bersatu boleh diselamatkan,” katanya, yang mengambil masa perjalanan hampir dua jam untuk ke Alor Setar.

Semalam, Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan Dr Mahathir, 95, kembali menjelajah di pentas ceramah, kali ini dengan kempen “Bersatu Blackout”, yang berlangsung malam tadi di Alor Setar, Kedah.

Kempen penerangan dan bantahan terhadap hala tuju Bersatu yang dibawa oleh Muhyiddin menggunakan logo asal parti berwarna merah yang dihitamkan sebagai tanda protes.

Dr Mahathir yang ditemui selepas ceramahnya berkata kehadiran lebih 500 ahli akar umbi Bersatu menunjukkan tidak semua ahli parti menyokong Muhyiddin.

Program Bersatu Gelap malam tadi dibuka dengan ucapan timbalan presiden yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir. 

Ahli Bersatu percaya akar umbi masih mahu lawan kleptokrasi, yang terpesong hanyalah barisan kepimpinannya. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2020.

Calon ketua sayap Pemuda Bahagian Kubang Pasu Zuhail Ibrahim, 27, berkata majoriti ahli akar umbi yang hadir pada malam tadi bukan sahaja menyokong Dr Mahathir tetapi mahu menegakkan keadilan.

“Kami pada awal masuk Bersatu untuk lawan Umno dan PAS tetapi kini (mereka) bersama tubuh kerajaan.

“Bersatu Bergelap adalah satu penentangan kepada Muhyiddin dan rakan-rakannya. Kami tetap tidak mahu parti ini bersama Umno dan PAS, tak mahu bersama parti yang pernah digelar penyamun,” katanya.

Ahli Bersatu Pendang Mohd Shukor Sharir, 52, menjelaskan kehadiran beliau pada malam semalam kerana ingin mendengar sendiri hala tuju Dr Mahathir untuk Bersatu.

Walaupun tahu status keahliannya dipertikaikan, Shukor berkata beliau masih berharap Dr Mahathir mampu memimpin semula parti itu.

“Ahli akar umbi sekarang keliru sama ada perlu sokong Dr Mahathir atau Muhyiddin. Ramai tidak sokong tindakan Muhyiddin, tetapi mereka keliru mahu sokong siapa.

“Saya harap keputusan mahkamah pada 7 Ogos memihak kepada Dr Mahathir. 

“Jika mahkamah putuskan Dr Mahathir masih ahli Bersatu, syurkurlah sebab Dr Mahathir boleh kembali pimpin kita,” tambahnya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos untuk memutuskan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi mahu membatalkan saman yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan beberapa yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu

Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen daripada Bersatu sebelum ini dipecat selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat. – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen