Bukan Celine Dion saja, persembahan lain pun elak KL


Noor Azam Shairi

APA yang baru sangat cerita tentang artis ternama antarabangsa tidak datang ke Kuala Lumpur dalam siri jelajah persembahan mereka di Asia Tenggara? 

Yang terbaru memanglah Celine Dion, yang akan membuat persembahan di Singapura, Jakarta, Manila dan Bangkok, Julai ini. Tahun lepas Coldplay. Tahun sebelumnya One Direction. Di antaranya, ada beberapa lagi.

Mustahil mereka ini tiada peminat di Malaysia. Itu nama-nama penghibur papan atas – artis carta utama, gred A atau mungkin AAA. 

Kecuali Celine Dion, yang pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur 10 tahun lalu semasa jelajahnya yang terakhir, Coldplay dan One Direction tidak pernah datang bermain di sini. 

Paling dekat peminat Coldplay dan One Direction dapat lihat konsert mereka tanpa ke luar Malaysia ialah tayangan rakamannya di panggung wayang beberapa tahun lalu.

Tetapi bukan soalnya pernah atau tidak pernah mereka ini datang buat show. Soalnya, kenapa begitu banyak konsert, teater atau tarian antarabangsa menjelajah rantau ini tetapi jarang ada yang datang ke Kuala Lumpur?

Bukan tidak ada yang datang ke Kuala Lumpur, ada, tetapi bandingkan persembahan yang datang ke Kuala Lumpur dengan yang ada di Singapura dan Jakarta, atau Bangkok dan Manila.

Tahun ini, dua anggota One Direction – Harry Styles dan Niall Horan – akan naik panggung di Singapura secara solo dalam dua konsert berasingan pada Mei dan Jun ketika kumpulan itu sekarang cuti rehat sehingga 2020. Bagi Styles, ini penampilan solo yang kedua di Singapura dalam masa enam bulan.

Tahun ini juga, dua teater muzikal yang diakui bagus dipentaskan di Singapura, kedua-duanya dalam rencana sambutan ulang tahun. Evita menyambut ulang tahun ke-40 sementara The Lion King ulang tahun ke-20. 

Evita di Singapura ini diarahkan sekali lagi oleh Harold Prince, pengarah asalnya di West End, London pada 1979. Ini adalah produksi yang sedang keliling dunia sebelum katanya mahu dibawa semula ke Broadway, New York.

Pementasan The Lion King di Singapura tahun ini juga adalah kali yang kedua di republik itu. Pada 2011, ia dipentaskan selama lapan bulan di Singapura dan ditonton oleh 300,000 orang.

Satu soalan: Kenapa persembahan seperti itu pergi ke Singapura tetapi tidak datang ke Kuala Lumpur?

Adakah kerana Kuala Lumpur tidak ada pentas yang sesuai? Mustahil ini alasannya kerana setidak-tidaknya ada beberapa panggung untuk konsert, untuk teater kolosal atau untuk tarian dengan sistem bunyi dan cahaya yang juga baik.

Istana Budaya yang dibuka beberapa tahun lebih awal sebelum Esplanade di Singapura pernah dianggap antara 10 pentas terbaik dunia, dalam kelas yang sama dengan Royal Albert Hall di London dan Sydney Opera House.

Tetapi bandingkan juga apa yang diangkat di sana – kita menang bentuk, kalah isi.

Atau adakah Malaysia tidak masuk radar persembahan antarabangsa sebab tidak ada penganjur yang sanggup bersusah payah mengaturnya untuk dibawa ke Kuala Lumpur? 

Persembahan antarabangsa akan sampai ke Malaysia kalau ada pihak yang mahu menganjurkannya. Mana pergi semua promoter persembahan? Sudah tutup kedai, tukar bisnes buka kedai makan?

Atau adakah sebab tidak ada penaja yang mahu melabur? Tetapi kenapa tidak ada penaja yang mahu melabur? Adakah penaja takut risiko tidak balik modal? Kenapa tidak boleh balik modal?

Kerajaan tahun ini sudah menaikkan potongan cukai daripada RM500,000 kepada RM700,000 untuk menggalakkan penajaan swasta dalam seni persembahan. Tetapi pengumuman dalam Bajet 2018 nampaknya tidak juga menggerakkan syarikat korporat untuk membangunkan seni, sehingga ada laporan Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPac) mungkin terpaksa ditutup kerana terbeban kos operasi yang tinggi.

Apa sebabnya? Kenapa begitu menyedihkan sekali dunia persembahan ini?

Adakah kerana Malaysia dari tahun ke tahun jadi semakin tegar, banyak yang tak boleh daripada yang boleh sehingga semakin luput imej sederhana dan bertolak ansur?

Tidak usah toleh jauh ke belakang. Tahun lalu saja dua kali Malaysia bikin gempar dunia kerana mengharamkan lagu Despacito di radio dan potongan ke atas filem Disney, The Beauty and The Beast kerana kononnya ada adegan yang memaparkan perlakuan gay.

Bukan sekali dua juga ada persembahan yang batal atau dilarang pada saat akhir.

Penyanyi Beyonce dua kali membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur pada 2007 dan 2009 selepas mendapat bantahan daripada kumpulan Islam, tetapi beliau meneruskan konsertnya di Jakarta.

Konsert penyanyi rap Kesha pada Oktober 2014 batal selepas permohonan permitnya ditolak sehari sebelum jadual walaupun penganjur memohon kebenaran jauh lebih awal.

Makanya, kalau jadi promoter, buat apa hendak bersusah payah, bukankah lebih baik pilih jalan selamat dan tidak berbuat apa-apa?

Tidak mengapalah kalau rakyat Malaysia berbondong-bondong ke Jakarta, Singapura, Bangkok atau Manila untuk menyaksikan artis kegemaran mereka membuat persembahan secara langsung, atau menonton muzikal dari West End dan Broadway, atau pertunjukan tarian atau komedi yang bagus.

Tidak mengapalah agaknya kalau rakyat Malaysia berbelanja di negara jiran, daripada kita sendiri yang berusaha agar mereka datang berbelanja di Malaysia.

Inilah agaknya dinamakan memakmurkan negara jiran. – 13 Januari, 2018.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mereka itu tidak oentinh bagi negara mskaysia..cuma org seperti anda yang harapkan dan terhegeh hegeh me antikan mereka..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan