Tubuh majlis penasihat jika Sarawak tangguh PRN, kata penganalisis


Desmond Davidson

Anggota yang dilantik ke majlis itu mestilah mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan tidak terikat dengan politik, kata Jayum Jawan, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

SARAWAK perlu tangguh pilihan raya negeri (PRN) jika kadar jangkitan Covid-19 tidak turun ke tahap yang cukup selamat, kata penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jayum Jawan berkata memandangkan tempoh dewan undangan negeri telah tamat, adalah bijak bagi kerajaan sementara untuk menubuhkan majlis penasihat “inklusif” untuk menasihatinya sehingga PRN dapat diadakan.

Masa luar biasa perlukan langkah luar biasa, katanya.

“Konsep normal kerajaan sementara harus diubah bagi mempertimbangkan semua pandangan dari rakyat. Ini akan memberi legitimasi kepada kerajaan sementara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata majlis itu tidak boleh lebih besar daripada kabinet.

“Maksimum sedozen (anggota).”

Katanya, apa yang penting adalah anggota yang dilantik ke majlis itu mestilah mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan tidak terikat dengan politik.

“Mereka perlu terdiri dari wakil yang mempunyai pandangan luas mengenai negari. Ia perlu ada sifat inklusif agar apa yang dibuat kerajaan sementara adalah sah dan diterima masyarakat.

“Kecuali, jika kadar jangkitan turun dengan cepat ke tahap yang selamat dan kebanyakan rakyat telah divaksinasi, tidaklah bijaksana untuk menangguhkan pilihan raya.”

Jawan juga berkata rakyat Sarawak tidak boleh mudah lupa mengenai peningkatan jangkitan Covid-19 setelah PRN Sabah tahun lalu.

Katanya, apa yang berlaku harus dijadikan pengajaran.

“Banyak kluster dan (jangkitan) tersebar di seluruh negeri ketika orang yang berkempen datang dari seluruh negeri pulang setelah PRN Sabah.”

Jawan mungkin satu-satunya suara yang berpendirian demikian.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata, PRN boleh diadakan walaupun kerajaan negeri berhadapan beberapa masalah seperti untuk menegakkan demokrasi atau memelihara nyawa manusia.

“Kita harus ikut undang-undang,” kata Masing, berkata PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Ogos selepas darurat ditarik.

Raja-Raja Melayu, dalam perbincangan khas pada Rabu menyatakan tidak perlu melanjutkan lagi darurat selepas 1 Ogos ini. – 18 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen