PRS tidak akan terima kembali Sng, kata Masing  


Desmond Davidson

Presiden PRS James Masing berkata partinya tidak mengalu-alukan Larry Sng untuk kembali menyertai parti itu. – Gambar Facebook, 4 Mac, 2021.

LARRY Sng yang keluar daripada PKR untuk menjadi ahli Parlimen bebas mesra Perikatan Nasional (PN), tidak dialu-alukan untuk kembali ke parti lamanya Parti Rakyat Sarawak (PRS), kata presidennya James Masing.

Masing memberitahu The Malaysian Insight, Sng bagaimanapun bebas untuk menyertai parti lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Tidak. Saya tidak akan halang kecuali jika beliau mohon untuk sertai PRS,” kata Masing kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya mereka mahu ambil Larry Sng, itu pilihan mereka. PRS tidak akan halang keputusan itu.”

Namun, ada syarat kepada keputusan PRS.

Masing berkata Sng tidak boleh mengambil kerusi Julau yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon bebas, kepada parti GPS yang beliau pilih untuk sertai.

“Kerusi itu tidak boleh dirunding. Ia adalah milik PRS.

Sng menewaskan Joseph Salang Gandum, yang menyandang kerusi itu selama empat penggal dan merupakan orang kanan Masing.

Empat parti dalam GPS adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan PRS.

Oleh kerana berketurunan Cina, Sng yang merupakan bekas pengerusi PKR Sarawak yang keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tidak boleh menyertai PBB yang dikhaskan untuk Bumiputera.

Jadi, beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada menyertai SUPP atau PDP.

“Larry bebas ke mana sahaja yang dia suka, apa yang penting parti itu bersedia menerimanya.” – 4 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen