KERAJAAN Perikatan Nasional tidak boleh lagi menangguhkan persidangan Parlimen selepas ketetapan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, kata penganalisis.
Selepas mempengerusikan perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang tadi, Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
Baginda pernah menyatakan pendirian yang sama pada Februari lalu ketika perintah darurat sudah berkuatkuasa.
Prof Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia memberitahu The Malaysian Insight, bukan Agong sahaja yang mahu Parlimen bersidang tetapi ia merupakan pendirian kolektif Raja-Raja Melayu.
“Pada Februari Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa sidang Parlimen boleh diteruskan ketika darurat namun ia tidak diendahkan.
“Hari ini, Raja-Raja Melayu menyatakan kerajaan perlu membenarkan Parlimen untuk bersidang, dengan atau tanpa darurat.”
“PN tidak boleh bagi alasan lagi untuk tidak mengadakan sidang Parlimen,” kata dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa.
Yang di-Pertuan Agong bertitah ia bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” titah baginda dalam satu kenyataan malam ini.
Prof Awang Azman Awang Pawi berkata mesej dari Raja-Raja Melayu adalah sangat jelas.
“Ini adalah kali kedua PN diminta untuk meneruskan sidang Parlimen. Secara tidak langsung, Yang di-Pertuan Agong bersikap tegas dan serius mengenai pentingnya mengadakan sidang Parlimen tetapi dibuat dengan cara yang sangat ‘sopan’,” kata Awang Azman. – 16 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen