PEMANTAUAN Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap bekalan sayur di pasar awam dan pasar raya di sekitar Putrajaya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, didapati masih stabil.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata pemeriksaan yang dilakukan hari ini bagi memantau harga sayur yang dihasilkan pekebun di Cameron Highlands seperti tomato, timun jepun, cili, kubis, kacang buncis, capsicum atau lada benggala dan salad adalah susulan laporan mengenai kenaikan harga sayur di pasaran.
Menurut Azman, Bahagian Harga Barang Negara KPDNHEP mendapat maklumat mengenai kenaikan harga beberapa jenis sayur di peringkat nasional melibatkan tomato (8.33 peratus), sawi, (2.91 peratus), timun (2.08 peratus), kubis bulat tempatan (2.73 peratus), kailan (2.37 peratus), kangkung (2.29 peratus), brokoli (2.27 peratus) dan capsicum (2.07 peratus).
Menurutnya, pemeriksaan di beberapa pasar awam di Putrajaya mendapati harga tomato dan timun jepun mengalami kenaikan antara 15 dengan 30 peratus manakala harga sayur lain masih stabil dan pemeriksaan di pasar raya pula mendapati semua jenis sayur itu tidak mengalami sebarang kenaikan harga.
“Secara umumnya, situasi bekalan sayuran dilihat masih stabil di semua pasar-pasar awam dan pasar raya sekitar Putrajaya. Bagaimanapun, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands,” katanya.
Azman dalam satu kenyataan hari ini memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaut keuntungan atau mencatut.
Katanya, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat.
Bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan aduan berkaitan salah laku peniaga melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my, talian 1-800-886-800, WhatsApp ke 019-2794317 atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-88826088. – Bernama, 16 Jun, 2021.
Komen