TANAH milik pekebun kecil getah dan kelapa sawit harus diusahakan secara estet dan dikembangkan untuk pelbagai tanaman makanan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata usaha secara kecil-kecilan getah dan kelapa sawit selama ini tidak begitu menguntungkan pekebun dan negara kerana ia tidak efisien dan tidak ekonomi.
“Ini jelas tetapi kita tidak berusaha untuk membetulkannya. Kita juga tidak berfikir tentang pertanian campuran untuk mengurangkan kerugian.
“Ini masanya kita mengakui kesilapan ini dan membetulkannya,” katanya, dalam satu tulisan yang disiarkan di akhbar perniagaan The Edge hari ini.
Jelas Dr Mahathir, kebun kecil itu harus melibatkan pelbagai tanaman sayur dan buah, yang seterusnya akan mengurangkan perbelanjaan import makanan negara.
“Cadangan ini harus dicuba. Kita import RM60 juta sayur setahun. Projek ini tidak hanya menjamin bekalan sayur-sayuran kita tetapi juga menyelamatkan banyak dari segi tukaran wang asing,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, cadangannya mungkin tidak disukai oleh pemilik tanah kebun kecil.
Namun beliau menjelaskan kebun-kebun kecil yang disatukan itu harus dibangunkan oleh Mardi atau perusahaan swasta.
“Tanah beribu ekar itu harus diuruskan oleh pengurus ladang yang terlatih bersama pekerja tempatan,” tambahnya.

Dr Mahathir menjelaskan pada fikirannya hanya satu pertiga sahaja tanah itu ditanam dengan getah atau kelapa sawit sementara selebihnya diusahakan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tembikai, nanas, durian atau jambu batu.
Sebahagian tanah itu juga boleh digunakan untuk menternak ikan air tawar, kambing dan lembu.
“Pada satu-satu masa akan ada sesuatu untuk dijual. Hasil ini boleh dijual setempat atau dieksport.
“Pemilik tanah harus dapat bahagiannya daripada keuntungan, yang sama tara dengan saiz tanah. Mereka boleh pilih untuk bekerja atau hanya menikmati keuntungannya,” katanya.
Dr Mahathir juga mencadangkan agar universiti melatih pengurus ladang.
Beliau yakin ladang campuran yang besar yang berjaya akan membuka mata pekebun kecil untuk bergabung membentuk ladang yang luas.
“Hak milik tanah mesti kekal pada pemiliknya. Mereka mesti pegang geran tanah untuk memastikan bahawa tanah itu tidak diambil daripada mereka,” tambahnya.
Dr Mahathir percaya mungkin ada idea lain yang lebih baik namun ideanya wajar dicuba.
Beliau juga percaya cadangannya itu boleh membantu menangani kemiskinan luar bandar, yang antaranya berpunca daripada amalan pertanian yang salah.
“Ini masanya kita berubah. Saya mencadangkan perubahan ini,” katanya. – 12 April, 2021.
Komen