JAWATANKUASA Khas Bebas Darurat belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata wakil Pakatan Harapan (PH) dalam jawatankuasa itu.
“Setakat hari ini, jawatankuasa ini masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata wakil pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu disuarakan tiga wakil PH yang berada dalam jawatankuasa tersebut, iaitu Dzulkefly Ahmad (Amanah), Anthony Loke (DAP) dan Saifuddin Nasution Ismail (PKR).
Sejak dilantik sebagai ahli jawatankuasa tersebut awal tahun ini, mereka berkata mereka telah menyampaikan pandangan mereka mengenai berbagai isu, termasuk pendirian mereka bahawa tidak ada keperluan darurat untuk mengatasi pandemik Covid-19.
“Pandangan-pandangan ini menyentuh pelbagai perkara darihal pandemik Covid-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.
“Kami juga menyampaikan pendirian bahawa pendekatan Government Intervention (campur tangan kerajaan) dalam bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik Covid-19.
“Pendirian kami ialah tiada keperluan untuk Darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan PKP yang lebih ketat adalah kaedah terbaik,” kata mereka.
Mereka juga meminta agar Parlimen bersidang semula dengan segera sebagai mekanisme seimbang sejajar dengan prinsip demokrasi berparlimen.
Parlimen tidak bersidang sejak tahun lepas berikutan keputusan kerajaan mengisytiharkan perintah darurat pada 11 Januari, ketika jumlah jangkitan harian Covid-19 sekitar 2,000.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin berkata Parlimen akan bersidang semula di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sekitar September atau Oktober.
Jawatankuasa khas Bebas Darurat, yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim Arifin Zakaria, dibentuk di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Jawatankuasa itu dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk pakar kesihatan dan mereka dari bidang yang berkaitan. – 16 Jun, 2021.
Komen