TIGA lagi pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) ditahan reman bagi membantu siasatan kes tuduhan rasuah membabitkan pegawai tinggi agensi itu.
Majistret L Uma Devi membenarkan reman enam hari sehingga Ahad di kompleks mahkamah Pulau Pinang petang tadi.
Tiga individu terbabit berusia antara 33 dan 49 tahun ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat ZPP semalam.
Sebelum ini, SPRM menahan 12 orang – empat pegawai tinggi ZPP termasuk ketua pegawai eksekutif dan lapan kontraktor, minggu lalu.
Reman CEO ZPP dan seorang pegawai kanan dilanjutkan hingga Khamis ini.
Dua lagi pegawai ZPP dibebaskan pada Ahad dengan bon RM10,000 setiap seorang.
Semua kontraktor dibebaskan pada hujung minggu lalu dan pagi ini dengan bon RM5,000 setiap seorang.
Minggu lalu, Aziz berkata siasatan awal menunjukkan semua individu terbabit didakwa menyalahgunakan dana bernilai jutaan ringgit dengan menganjurkan program sebelum keuntungannya diagihkan.
Katanya, SPRM percaya CEO terbabit menerima barangan berharga, wang, cek daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan kerana memberikan projek tertentu kepada mereka.
Aziz dilaporkan berkata suruhanjaya itu akan memburu lebih ramai individu, terutama kontraktor yang menerima projek daripada ZPP, bagi membantu siasatan. – 16 Mei, 2017.
Komen