Sabar dulu, belum boleh lagi rentas negeri, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata perjalanan rentas negeri hanya boleh dibenarkan semula apabila imuniti kelompok dicapai pada fasa keempat pemulihan negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin meminta rakyat bersabar dulu sebelum kehidupan sosial mereka dapat kembali kepada asal, termasuk kebenaran rentas negeri di tengah pandemik Covid-19 yang belum lagi reda.

Katanya, lebih banyak kegiatan sosial termasuk menonton bola sepak di stadium dan balik kampung hanya boleh dibenarkan semula apabila imuniti kelompok dicapai pada fasa keempat pemulihan negara iaitu apabila lebih ramai rakyat disuntik vaksin Covid-19 menjelang November ini.

“Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang.

“Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan.

“Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen petang ini.

Muhyiddin menyampaikan perutusan khas petang ini untuk mengumumkan pelan pemulihan negara empat fasa untuk keluar daripada pandemik.

Fasa keempat pelan pemulihan akan membuka penuh sektor sosial apabila  jumlah jangkitan baharu harian Covid-19 tidak lebih daripada 500 kes sementara 60 peratus rakyat sudah lengkap disuntik dua dos vaksin.

“InsyaAllah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat.

“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” kata perdana menteri.

Muhyiddin memaklumkan sehingga ini lebih 4.5 juta dos suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat, iaitu 3.2 juta menerima dos pertama dan baki 1.4 juta lengkap mendapat dua dos.

“Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini,” katanya.

Setakat ini juga, 13.8 juta orang sudah berdaftar untuk disuntik vaksin, iaitu separuh daripada sasaran untuk mencapai imuniti kelompok, tambahnya, sambil mengingatkan mereka yang belum berbuat demikian supaya segera mendaftar di aplikasi MySejahtera.

“Sementara itu, kita mestilah terus bersabar dan berdisiplin,” kata Muhyiddin, menggesa semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan biarpun sudah divaksin.

Awal hari ini, menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata dos vaksinasi di Selangor akan ditingkatkan kepada 135,000 sehari pada Julai dan seterusnya 165,000 dos sehari pada Ogos.

Katanya, dengan sasaran itu, Selangor dapat mencapai imuniti kelompok menjelang September ini.

Beliau mengumumkan pelan itu selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor bersama Menteri Besar Amirudin Shari di Shah Alam.

Semalam, Khairy mengumumkan pelancaran fasa empat program vaksinasi bermula esok iaitu untuk pekerja industri yang beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Kementerian Kesihatan juga hari ini mengumumkan kelulusan untuk beberapa lagi jenis vaksin, termasuk yang boleh diberikan kepada mereka yang berumur lebih 12 tahun.– 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen