PUTRAJAYA mengiktiraf sepenuhnya peranan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan bagi menasihati Yang Dipertuan Agong berhubung darurat, kata menteri undang-undang Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata kenyataannya semalam berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berhubung dengan perisytiharan darurat kelihatan dipetik di luar konteks yang sebenar.
“Saya ingin mengulangi komitmen dan jaminan kerajaan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undang-undang.
“Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
“Kerajaan juga tidak pernah campurtangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu bagaimanapun Takiyuddin tidak menjelaskan sebab beliau menyatakan Kabinet akan menasihati Agong.
Semalam, Takiyuddin berkata Kabinet akan menasihat Agong sama ada darurat perlu disambung atau tidak.
Beliau membalas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang sebelumnya berkata hanya Agong boleh membuat keputusan tentang tempoh darurat.
Darurat diisytiharkan pada Januari sebagai usaha memerangi pandemik Covid-19 dan dijadualkan berakhir pada 1 Ogos.
Jawatankuasa Bebas Khas juga ditubuhkan dengan melibatkan ahli Parlimen pembangkang bagi menasihati Agong berhubung situasi Covid-19 dan sama ada darurat perlu disambung bagi mengawal penularan wabak itu.
Kenyataan Takiyuddin yang menyatakan Kabinet sebagai penasihat kepada Agong mengundang kritikan daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said.
Azalina dalam satu ciapan di Twitter menggesa kerajaan agar “mengalih tiang gol” dalam soal penentuan darurat.
Namun Takiyuddin membalas dengan berkata tiada “tiang gol” mengenai penentuan tempoh darurat yang diubah tetapi Putrajaya hanya membantu “pengadil” membuat keputusan yang betul.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang juga menyelar Takiyuddin yang menafikan Kabinet “mengalihkan tiang gol” apabila tempoh darurat semakin hampir berakhir.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang juga ahli jawatankuasa khas itu berkata Takiyuddin mencetuskan kekeliruan dan perlu menjelaskan tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut.
Beliau mahu Takiyuddin menghuraikan keperluan jawatankuasa khas itu wujud sekiranya ia tiada kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong seperti dimandatkan kepadanya.
“Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini,” katanya. – 13 Jun, 2021.
Komen