J/kuasa khas ganti Kabinet nasihat Agong tempoh darurat, kata Saifuddin Nasution


Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution berkata jawatankuasa khas bebas darurat masih wujud dan berfungsi, dan akan mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

JAWATANKUASA khas bebas darurat sudah menggantikan peranan Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan darurat disambung atau ditamatkan, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberi pengecualian dalam hal itu, yang dalam keadaan lain masih kekal pada Jemaah Menteri untuk menasihati Seri Paduka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan penubuhan (jawatankuasa khas) ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri. 

“Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu ‘menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya’,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bahawa Jemaah Menteri, dan bukan jawatankuasa itu, yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat disambung atau tidak.

Saifuddin yang juga anggota jawatankuasa khas bebas darurat menggesa Takiyuddin segera menjelaskan kenyataannya yang katanya “amat mengelirukan”.

Beliau mahu Takiyuddin menghuraikan keperluan jawatankuasa khas itu wujud sekiranya ia tiada kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong seperti dimandatkan kepadanya.

“Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook dalam reaksi berasingan mengingatkan Takiyuddin, jawatankuasa khas itu ada peranan sama dengan Jemaah Menteri dalam penentuan darurat.

“Jawatankuasa khas memainkan peranan yang selari dengan Kabinet setakat menasihati Agong dalam soal tempoh darurat,” tulisnya di Facebook, malam tadi.

Seorang lagi anggota wakil Pakatan Harapan dalam jawatankuasa sama Dr Dzulkefly Ahmad juga memberi ingatan sama kepada Takiyuddin.

“Jangan menteri terlupa, Agong menubuhkan jawatankuasa khas bebas darurat, yang diketuai oleh Tun Ariffin, dengan satu sebab wujudnya.

“Sama seperti Kabinet, kami juga ada peranan sama menasihati Agong bila darurat perlu diangkat,” tulisnya di Twitter, malam tadi.

Dalam kenyataannya semalam, Takiyuddin berkata tidak timbul soal budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam penentuan hal itu, sama seperti ketika Jemaah Menteri menasihati Seri Paduka untuk perisytiharannya pada 12 Januari lalu.

Jawatankuasa khas bebas darurat dianggotai pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan. Ia diketuai bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria.

Penubuhannnya diperkenankan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam perisytiharan darurat untuk  menasihati baginda mengenai “kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya”.

Menurut Saifuddin, sehingga sekarang jawatankuasa khas itu masih wujud dan berfungsi, dan akan mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong. – 13 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen