Menteri luar kecewa dengan amalan birokrasi Putrajaya


Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata kerajaan Putrajaya perlu bertindak dengan lebih tangkas dan anjal dalam membuat keputusan sukar untuk menangani pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

SEORANG lagi anggota Kabinet tumpang sekaki mengkritik Putrajaya sewaktu kerajaan Perikatan Nasional semakin kuat diasak atas kelemahan menangani pandemik.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya menyuarakan rasa kecewa dengan amalan birokrasi waktu ini yang menurutnya menghalang Malaysia menerima bantuan daripada negara luar.

Kelemahan itu juga menjejaskan hubungan diplomatik, katanya yang menggesa Putrajaya perlu bertindak dengan lebih tangkas dan anjal dalam membuat keputusan sukar.

“Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan. Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul.

“Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.

“Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa.”

Tambahnya, negara juga sepatutnya dapat berkompromi dalam meluluskan vaksin Covid-19 untuk memastikan program pelalian dapat dijalankan dengan lebih agresif.

“Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. Sedangkan, banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Pastinya mereka tidak salah,” katanya.

Hishammuddin tidak menamakan negara yang menawarkan bantuan itu namun Malaysia antara lain sudahpun menerima tawaran Rusia bagi kemahiran dan kepakaran mengeluarkan vaksin.

Duta besarnya Naiyl M Latypov dilaporkan berkata, Rusia menawarkan kerjasama untuk membina keupayaan, perkongsian teknologi serta kajian dan pembangunan vaksin dengan Malaysia.

Beliau memberitahu Malay Mail, Malaysia sudahpun menempah enam juta dos vaksin Sputnik V keluaran negaranya.

Rusia disebut dalam laporan 10 Jun itu sebagai negara yang bakal setanding dengan kuasa besar lain dalam persaingan teknologi mengeluarkan vaksin dengan Sputnik V.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan minggu lalu juga kecewa kerana kerajaan masih belum meluluskan vaksin seperti Sputnik V.

Mengulas lanjut, Hishammuddin dalam kenyataan di blognya berkata kompromi tersebut amat diperlukan dalam keadaan genting waktu ini.

“Ya, saya faham pihak berkuasa berkaitan di negara kita perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti.

“Tetapi dalam berdepan situasi tidak normal seperti hari ini, kita tidak boleh gunakan prosedur biasa.

“Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa – pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan,” katanya.

Tegasnya lagi, keadaan luar biasa waktu perang menentang Covid-19 ini memerlukan penyelesaian yang luar biasa.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah ketangkasan dalam pemerintahan, agar kita cepat menyesuaikan diri serta pantas membuat keputusan,” katanya.

Pada masa sama, ujian Covid-19 juga perlu dijalankan dengan lebih agresif manakala kawalan pergerakan pula perlu dijalankan dengan lebih konsisten.

Sepatutnya, tiada lagi perubahan dijalankan ke atas prosedur operasi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh pada waktu ini.

“Perubahan yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah kita capai setakat ini,” kata ahli Parlimen Sembrong itu.

Seorang lagi anggota Kabinet, Menteri Tugas Khas Redzuan Yusof pada minggu ini menyatakan kekecewaan kerana tidak lagi disertakan dalam mesyuarat penting menangani pandemik.

Menteri dari Bersatu itu mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tetapi tidak lagi menyertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menangani pandemik Covid-19.

Beliau tidak lagi dijemput menyertai mesyuarat MKN sejak Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu, katanya seperti dilaporkan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman pula kini sedang giat berperang mulut dengan menteri hal ehwal undang-undang Takiyyuddin Hassan berkenaan usaha menamatkan darurat.

Polemik berkenaan timbul sewaktu Raja-Raja Melayu bakal bersidang minggu depan dalam satu mesyuarat khas bagi membincangkan usaha menangani pandemik dan pelaksanaan darurat.

Para pemimpin parti, antaranya dari Umno dan Pakatan Harapan menghadap Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu untuk menggesa darurat ditamatkan dan agar Parlimen dapat bersidang.

Dr Mahathir yang memimpin Pejuang pula mencadangkan agar satu Majlis Pemulihan Negara dibentuk, serupa seperti Majlis Gerakan Negara yang dihidupkan sewaktu darurat 1969.  – 13 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pelik sungguh dengan menteri2 kjaan tebuk atap. Semua nak meludah ke langit tapi akhirnya ia jatuh semula ke muka masing2. Berundur aje lah kalau tidak setuju. Ini tak, semua perks nak ambil tapi lepas itu meludah ke langit. Agaknya ada kaitan dgn pengumpulan SD baru ker?

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Anak Malaysia · Ulasan