JOHNSON Lee, pengasas entiti perdagangan forex JJ Poor to Rich (JJPTR), dan dua yang lain ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan membabitkan lebih 30,000 rakyat Malaysia.
Mahkamah Majistret Klang membenarkan permohonan reman dikemukakan polis terhadap tiga individu terbabit yang dibawa ke mahkamah petang ini.
Mereka ditahan awal pagi tadi di Petaling Jaya di mana polis turut merampas lebih RM20,000 tunai dan 11 kad debit dan kredit.
Penahanan itu dibuat selepas beberapa pihak berkuasa menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan menahan 15 pekerja serta empat pelabur untuk soal siasat dan dokumentasi.
JJPTR disiasat kerana kes tipu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap syarikat itu, beberapa minggu lalu.
Lee, 28, orang kanannya dan pembantu peribadinya kelihatan tunduk ketika dibawa ke mahkamah.
Dia kelihatan tenang dan diam walaupun dikerumuni media yang mahu meminta komennya mengenai penahanan itu.
Peguamnya, Jaya Prem Krishnan berkata Lee dan dua yang lain ditahan susulan laporan polis dibuat terhadap mereka di Klang mengenai kerugian RM56,400.
Beliau berkata anak guamnya tidak menerima wang itu.
“Mahkamah membenarkan tahanan reman tiga hari dan pada 18 Mei mereka sepatutnya sudah boleh keluar,” katanya kepada wartawan.
JJPTR menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu apabila Lee mendakwa syarikat itu kerugian AS$400 juta (RM1.738 bilion) akibat perbuatan penggodam.
Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pesuruhjaya Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis membekukan beberapa akaun milik syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan tanpa kebenaran daripada Bank Negara.
Lee memberitahu pelabur beliau akan memulangkan semula duit mereka dan JJPTR memperkenalkan pelan pelaburan baru bagi menggantikan skim perdagangan forex.
Skim perdagangan forex bermula pada Mei 2015, menawarkan pelabur 20% pulangan bulanan bagi pelaburan serendah AS$25 hingga maksimum AS$1,000. – 16 Mei, 2017.
Komen