Lebih banyak vaksin akan diagih untuk Selangor, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin juga berkata lebih banyak PPV berskala besar akan dibuka bagi menampung jumlah penduduk yang tinggi di Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Jun, 2021.

BEKALAN vaksin Covid-19 di Selangor akan ditambah bagi menampung jumlah penduduk yang tinggi di negeri itu, kata Khairy Jamaluddin.

Selain itu, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk yang berskala besar akan dibuka di Selangor, tambah menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kapasiti PPV di Selangor tidak dapat menampung penghantaran yang lebih besar.

“Maka kita buat keputusan untuk tambah penghantaran vaksin di Selangor dengan pembukaan lebih banyak PPV,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya hari ini.

Selangor yang mempunyai 6.5 juta penduduk menerima hanya 615,210 vaksin Covid-19 setakat 1 Jun.

Semalam, Sultan Selangor mahu Putrajaya mempercepat dan menambah agihan dos vaksin untuk rakyat negeri itu kerana agihan pada masa ini tidak seimbang dengan saiz penduduk dan sumbangan ekonominya kepada negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah nisbah pemberian dos vaksin sebanyak lebih 615,000 pada masa ini tidak adil berbanding keseluruhan penduduk di Selangor, yang berjumlah 6.5 juta orang.

Sultan Sharafuddin turut bertitah Selangor wajar diberi keutamaan kerana kedudukannya sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

Minggu lalu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19 setakat 1 Jun 2021, dan bukan 2.9 juta seperti yang dimaklumkannya sebelum itu. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen