Percepatkan agihan vaksin Covid-19 untuk Selangor, titah Sultan


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah nisbah pemberian dos vaksin sebanyak lebih 615,000 pada masa ini tidak adil berbanding keseluruhan penduduk di Selangor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

SULTAN Selangor mahu Putrajaya mempercepat dan menambah agihan dos vaksin untuk rakyat negeri itu kerana agihan pada masa ini tidak seimbang dengan saiz penduduk dan sumbangan ekonominya kepada negara, kata pejabat Istana Alam Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah nisbah pemberian dos vaksin sebanyak lebih 615,000 pada masa ini tidak adil berbanding keseluruhan penduduk di Selangor, yang berjumlah 6.5 juta orang.

“Titah baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” kata setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah Sultan Sharafuddin turut bertitah Selangor wajar diberi keutamaan kerana kedudukannya sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

Minggu lalu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19 setakat 1 Jun 2021, dan bukan 2.9 juta seperti yang dimaklumkannya sebelum itu.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin terkejut dengan pengesahan CITF itu.

“Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 mempercepat dan menambah bilangan dos baksin untuk rakyat negeri Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mahu pusat pemberian vaksin (PPV) ditambah, khususnya di luar bandar, kata Mohamad Munir.

“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.

Sultan Sharafuddin juga kecewa dan tidak berkenan dengan golongan anti-vaksin, dan berharap rakyat Selangor tidak terpengaruh dengan fahaman mereka yang terpesong.

Kepada mereka yang sudah menerima vaksin, baginda menasihatkan supaya kekal waspada dan berhati-hati, kata Mohamad Munir.

Baginda juga dukacita dengan jumlah kes yang meningkat di Selangor namun memuji langkah kerajaan yang agresif melakukan ujian saringan Covid-19.

Setakat tengah hari semalam, Selangor mencatatkan 1,374 kes baharu atau bersamaan kira-kira 1 daripada 4 kes baharu Covid-19 yang dikesan di seluruh negara.

Sehingga semalam, Selangor sudah merekodkan keseluruhan 203,520 kes positif Covid-19 sejak pandemik itu dikesan di negara ini termasuk 961 kematian.

Setakat Sabtu lalu, program saringan Covid-19 secara percuma yang dilancarkan oleh kerajaan Selangor pada 8 Mei lalu sudah menguji lebih 90,000 orang, melangkaui sasaran awal 50,000 orang.

Daripada jumlah itu, 4 daripada setiap 100 yang disaring didapati positif.

Program saringan percuma yang melibatkan 56 kawasan dewan undangan negeri di Selangor dijadual berakhir Khamis ini. – 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen