SESI pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan selama 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 dan 14 Jun ini, umum Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.
Kaedah itu akan diteruskan sehingga cuti sekolah pada pertengahan Julai bermula 16 dan 17 Julai mengikut kumpulan negeri masing-masing, katanya.
“Kaedah seterusnya akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum cuti sekolah berakhir pada 25 dan 26 Julai,” katanya, dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Negeri kumpulan A ialah negeri-negeri yang menetapkan Jumaat dan Sabtu sebagai hujung minggu sementara negeri kumpulan B ialah negeri-negeri yang hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad.
Kaedah sama juga terpakai untuk sekolah swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, mengikut takwim masing-masing, tambahnya.
Menjawab soalan mengenai perancangan kementerian bagi tahun persekolahan 2022, Mohd Radzi berkata perkara itu akan umumkan kelak berdasarkan keadaan semasa penularan Covid-19.
Sementara itu mengulas pendekatan menangani kluster Covid-19 jika kelas fizikal akan diadakan, jawabnya kementeriannya sentiasa membuat penelitian mengenai keadaan itu.
“Bila dibuka kelak bagaimana pendekatan kementerian? Perkara ini yang sentiasa diperincikan dari semasa ke semasa. Insyallah, kita akan maklumkan lebih awal,” katanya.
Putrajaya mengenakan sekatan pergerakan penuh sehingga 14 Jun ini selepas kes harian Covid-19 melepasi garis 8,000 sehari pada hujung Mei lalu.
Jelas Mohd Radzi, PdPR yang dilaksanakan oleh pihak kementerian dibuat mengikut kesesuaian murid dan guru, dengan penekanan pada kandungan asas kurikulum yang turut disebarkan melalui televisyen pendidikan.
Ia dilaksanakan dengan sokongan semua pihak yang terlibat iaitu murid, guru dan ibu bapa atau penjaga.
Mohd Radzi menjelaskan manual PdPR yang disediakan oleh pihak kementerian hanyalah panduan yang boleh diubah mengikut kesesuaian.
“Manual ini satu panduan yang membolehkan guru dan ibu bapa melihat secara keseluruhan dan keadaan paling optimum… tidak perlu ikut semua dalam manual,” katanya, menjawab rungutan terlalu banyak subjek perlu diliputi dalam PdPR.
Tambahnya, guru lebih mengetahui kebolehan dan keupayaan anak didik mereka.
Sementara itu, Mohd Radzi berkata saluran pendidikan Didik TV akan menyediakan 15 jam waktu siaran setiap hari sementara slot di Tutor TV Astro menyediakan empat jam sehari dan TV Okey RTM 2 jam sehari. – 6 Jun, 2021.
Komen