DUA daripada lima pelajar dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan fizikal, mental dan emosi sejak sekolah ditutup dan pembelajaran beralih kepada secara atas talian sejak tahun lalu, menurut satu kaji selidik.
Kaji selidik yang dijalankan secara atas talian bertajuk The Student Voice Matters 2021 oleh perusahaan sosial, Project ID itu diadakan dari 1 Mac hingga 28 April. Ia menemu bual 761 pelajar berusia 13 hingga 21 tahun di seluruh negara.
Sejumlah besar pelajar iaitu 40.1% berkata kesihatan fizikal mereka seperti corak waktu tidur, tabiat makan dan paras tenaga menurun sementara 41.9% mengalami masalah kesihatan mental kerana tekanan dan 37.6% memberitahu kesihatan emosi mereka, seperti mood dan rasa berang semakin teruk sejak beralih kepada pembelajaran atas talian.
“Sesetengah pelajar berkata kesihatan mental merosot kerana kerja sekolah bertambah dan tertekan ketika belajar secara online,” kata laporan Project ID.
“Ini dapat dilihat dalam jumlah besar pelajar melaporkan kesihatan mental dan emosi semakin teruk kerana menghabiskan masa depan gajet, dan tambahan kerja sekolah bermakna lebih banyak masa digunakan di depan skrin.”
Pelajar berkata mereka bimbang tentang peperiksaan dan kerja sekolah apabila sekolah ditutup.
“Lebih 84% pelajar berkata peperiksaan akan datang antara perkara yang paling membimbangkan mereka apabila sekolah ditutup, diikuti dengan 65% yang bimbang untuk menyiapkan semua kerja sekolah.
“Ia mungkin susulan jadual mengajar tidak tetap yang dialami pelajar ketika sesi belajar atas talian tahun lalu.
“Satu daripada lima pelajar juga berkata menjaga ahli keluarga lain dan bekerja bersama ibu bapa mereka antara kebimbangan utama. Ini menunjukkan sebahagian pelajar mempunyai tanggungjawab tambahan di rumah, selain belajar,” menurut laporan itu.
Perasaan bercampur aduk terhadap pengalaman pembelajaran
Kaji selidik itu turut mendapati 39.2% pelajar mengalami perasaan yang bercampur baur terhadap keseluruhan pengalaman pembelajaran atas talian sepanjang pandemik Covid-19.
Sementara 39.2% pelajar menunjukkan mereka rasa gembira, percaya, mengharap, sedih, takut dan marah, 30.9% yang lain memberikan rasa positif terhadap pembelajaran atas talian, 22.9% pula hanya ada perasaan negatif manakala 7.1% lagi tiada perasaan apa-apa atau neutral saja.
“Majoriti daripada laporan pelajar, ada rasa percaya, dengan lebih 44% (332 pelajar) menyatakan mereka rasa tenang dan selamat terhadap keseluruhan pembelajaran.
“Jumlah pelajar hampir sama yang ditemubual berkata mereka rasa gembira dan positif, gementar dan takut, teruja dan bersedia, dan kecewa dan bosan dengan pembelajaran mereka.
“Bagi pelajar yang menyatakan mereka rasa sunyi dan tidak berdaya, 60% daripadanya juga bercakap tentang kemerosotan kesihatan mental sejak belajar secara atas talian,” kata laporan itu. – 27 Mei, 2021.
Komen