Pemuda PKR serang Azmin, Zuraida


Diyana Ibrahim

Pemuda PKR sokong petisyen desak Menteri Miti Azmin Ali meletak jawatan selepas dianggap gagal dalam tugas hingga pelaksanaan PKP tidak berjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

PEMUDA PKR menyokong petisyen dalam talian mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan selepas dianggap gagal dalam tugas dan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak berjaya.

Akmal Nasir berkata kalau bekas pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Rahman boleh dipecat, tiada sebab kenapa Azmin juga tidak boleh digugurkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“AMK dan saya  akan tandatangan petisyen dan kita pastikan petisyen sampai 200,000 tanda tangan, dan kita tengok adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyuruh Azmin letak jawatan,” katanya dalam ucapan dasar membuka Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini.

Setakat tengah hari ini, petisyen yang dimulakan pada Khamis sudah mengumpulkan lebih 178,000 tanda tangan.

Azmin minggu ini menjadi sasaran kecaman kerana dilihat memberikan kelonggaran kepada banyak sektor terutamanya perkilangan untuk beroperasi biarpun kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan Covid-19.

Azmin kelmarin mempertahankan kementeriannya apabila berkata kelulusan pelbagai sektor itu diberikan oleh kementerian-kementerian lain mengikut bidang kuasa sektor masing-masing.

Jelajah Malaysia

Sementara itu, Akmal dalam ucapannya turut menyerang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang juga dikatakannya gagal.

Katanya, Pemuda PKR akan memulakan jelajah satu Malaysia bagi mendedahkan kegagalan projek Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) selepas rentas negeri dibenarkan.

Jelajah itu akan dibuat selepas pihaknya menerima banyak aduan dan luahan daripada pembeli PR1MA yang terpedaya sehingga terpaksa membayar pinjaman kepada bank sedangkan rumah tidak juga siap.

“Satu-satunya menteri yang memegang portfolio sama iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sudah tiga tahun tetapi dilihat tidak berupaya menyelesaikan isu rumah mampu milik,” katanya merujuk kepada Zuraida.

“Insya-Allah selepas boleh merentas negeri nanti, saya akan bersama dengan AMK negeri untuk bertemu dengan para pembeli rumah PR1MA, kita akan pusing satu negara untuk dedahkan projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia yang sakit dan bermasalah ini,” katanya. – 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen