Bukan MITI sahaja keluar kebenaran operasi, kata Azmin 


Azmin berkata demikian bagi menjawab kekeliruan dan masalah yang berlaku sejak sebelum PKP penuh dikuatkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

AZMIN Ali mempertahankan bahawa kementeriannya bukan satu-satunya pihak berkuasa yang menentukan kebenaran beroperasi kepada industri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kekeliruan yang timbul sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasa bermula 1 Jun.

Pada awal, kerajaan mengumumkan syarikat swasta dalam sektor perlu hanya dapat beroperasi melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kebenaran itu melalui surat dikeluarkan sistem baharu MITI dikenali dengan nama Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Ia menyebabkan sistem berkenaan sesak dan tidak dapat diakses oleh ramai pekerja yang kemudiannya tidak dapat menunjukkan surat diperlukan ketika melalui sekatan jalan raya.

Kelulusan untuk perkhidmatan seperti pengurusan bangunan bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula kemudian disedari tidak tersedia dalam sistem CIMS 3.0 tersebut.

Masalah dan rungutan itu menyebabkan Bukit Aman semalam terpaksa mengarahkan pasukan polis membenarkan laluan pekerja yang membawa apa sahaja surat kebenaran dari mana-mana jabatan.

Dalam pembelaannya, Azmin dalam kenyataannya hari ini berkata sistem CIMS 3.0 sehingga kini digunakan 15 kementerian untuk proses kebenaran operasi bawah sektor masing-masing.

Pada masa sama, terdapat juga sistem berbeza seperti Sistem Kebenaran Ke Luar Negara (MAFI) dan Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE).

“...dan terbukti sistem yang telah diwujudkan adalah berkesan untuk kumpulan sasaran mereka.

“Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan.

“MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan samada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya,” katanya.

Azmin juga mengakui kelemahan sistem kementeriannya itu yang didapati memberi kelulusan operasi kepada industri tidak perlu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata sistem berkenaan akan dipertingkatkan.

“MITI juga ambil maklum tentang aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya.

Beliau juga berkata lebih 128,000 syarikat dengan kekuatan 1.57 kakitangan dibenar beroperasi setakat ini melalui sistem CIMS 3.0.

Jumlah kelulusan itu daripada keseluruhan 586,308 syarikat yang berdaftar untuk beroperasi melalui sistem kementeriannya. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen