Pilihan raya tidak mungkin diadakan tahun ini, kata pakar


Chan Kok Leong

Keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda mungkin menyebabkan pengundi bimbang untuk keluar mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

PILIHAN raya tidak mungkin akan diadakan pada tahun ini berikutan keadaan pandemik Covid-19, kata penganalisis.

“Ini bukan tahun untuk pilihan raya.

“Pengundi tidak mungkin keluar untuk mengundi jika pilihan raya diadakan tahun ini dengan jumlah jangkitan baharu yang tinggi dan munculnya varian baharu,” kata Pengarah Pusat Ilham Hisommudin Bakar.

Dengan program imunisasi kebangsaan yang bergerak perlahan, Hisommudiin berkata sukar untuk membayangkan Malaysia mencapai 80% imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Lebih-lebih lagi, masih ada banyak ketidakpastian mengenai apakah vaksin berkesan terhadap varian baharu.

Walaupun hampir tiga minggu memasuki Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, Malaysia melaporkan 7,703 jangkitan baharu semalam, menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 82,274.

Kini terdapat 878 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 441 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka kematian Covid-19 juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dengan 126 kematian baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 2,993.

Sementara itu, pada 1 Jun seramai 3.10 juta orang sudah menerima vaksin. Daripada jumlah ini, 1.10 juta sudah menerima dua dos.

Untuk pendaftaran, 12.41 juta mendaftar untuk vaksinasi pada 11.59 malam 1 Jun.

Di antara negeri itu, hanya Putrajaya (67,667) yang diberi vaksin 100% sementara Sabah dan Kelantan 19.07% dan 34.75% diberi vaksin. Kuala Lumpur dan Selangor menunjukkan jumlah vaksinasi tertinggi masing-masing sebanyak 1.02 juta (69.11%) dan 3.27 juta (67.45%).

Hisommudin berkata, tidak ada tanda-tanda parti politik bersiap sedia untuk pilihan raya politik tahun ini.

“Seperti yang kita ketahui, parti-parti politik – Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan – bahkan belum memulakan rundingan kerusi atau menyiapkan manifesto pilihan raya,” katanya.

Lazimya proses rundingan kerusi berlangsung kira-kira enam bulan, kata Hisommudin.

“Sekiranya Parlimen dibubarkan pada Ogos, akan ada sedikit masa yang ada bagi mana-mana pihak untuk membuat persiapan dan bertanding dalam masa dua bulan,” katanya.

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhe Wei juga yakin tidak akan ada pilihan raya tahun ini.

“Perikatan Nasional tidak mungkin mahu pilihan raya diadakan tahun ini berikutan wabak yang berlaku. Dengan masalah semasa, mereka akan mengambil masa untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap mereka.

“Saya cukup yakin tidak akan ada pilihan raya tahun ini,” kata Lau.

Walaupun Lau tidak mahu membuat spekulasi mengenai bila pilihan raya akan diadakan, Hisommudin berkata separuh kedua tahun 2022 adalah pilihan yang sesuai.

“Pandemik harus terkawal ketika itu dan jika ekonomi melonjak kembali, akan ada dana mencukupi untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat tekanan hebat daripada rakan sekutu PN untuk mengadakan pilihan raya.

Muhyiddin sebelum ini berkata bahawa beliau akan mengadakan pilihan raya selepas negara pulih dari Covid-19.

Beliau juga mengumumkan darurat sehingga 1 Ogos untuk kerajaannya memerangi wabak itu tanpa gangguan politik serta Parlimen dan DUN akan kekal ditangguhkan.

Malaysia kini berada di bawah perintah sekatan pergerakan penuh selama dua minggu dari 1 Jun, selepas itu akan ada tempoh empat minggu dari fasa kedua dari sekatan penuh.

Ramai yang percaya bahawa kerajaan akan melanjutkan tempoh darurat melebihi tarikh akhir 1 Ogos. – 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen