KES aktif Covid-19 di negara ini melepasi angka 80,000 selepas sebanyak 7,105 kes baharu dengan 6,083 kes pulih dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes aktif kini berjumlah 80,474 orang.
Kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat sebanyak 21 kes kepada 872 hari ini.
Pesakit yang memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan adalah seramai 419 hari ini daripada 422 orang semalam.
Terdapat juga 71 kematian yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian di seluruh negara seramai 2,867 orang. Hanya dua daripadanya adalah warga asing.
Selangor melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 28 kematian menjadikan jumlah keseluruhan di negeri ini seramai 797 orang.
Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Johor (lapan), Sarawak (tujuh), Kuala Lumpur (enam), Kelantan (lima), Melaka (empat), Kedah (tiga), Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak (masing-masing dua), Sabah, Pahang, Labuan dan Pulau Pinang (masing-masing satu).
Kematian tertua hari ini adalah seorang lelaki berusia 99 tahun dan merupakan satu-satunya kes kematian di Labuan.
Mangsa termuda, seorang wanita berusia 27 tahun yang menderita asma meninggal dunia akibat wabak itu di Hospital Sibu, Sarawak. – 30 Mei, 2021.
Komen