Syed Saddiq lancar program bantuan sendiri


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lancar program bantuan bantu individu terkesan akibat PKP penuh di kawasannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan program bantuan bagi membantu individu kurang bernasib baik di kawasannya susulan “bantuan tidak mencukupi daripada kerajaan persekutuan” apabila negara memulakan sekatan pergerakan penuh.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh itu tetapi ia perlu disertakan dengan subsidi besar bagi golongan B40, M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Di bawah Pakej Sejiwa yang diumumkan beliau menerusi video di aplikasi TikTok, kira-kira 2,000 keluarga di Muar akan menerima tablet, bantuan makanan dan subsidi.

“Kenapa saya memutuskan untuk mengumumkan Pakej Sejiwa untuk Muar – yang merupakan pakej kewangan saya sendiri untuk mereka yang kurang bernasib baik di Muar – adalah kerana saya rasa kerajaan tidak melakukan dengan cukup dan pengumuman bantuan juga lambat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya rasa bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak mencukupi. Sepatutnya sekurang-kurangnya tiga bulan moratorium automatik untuk semua bukan hanya untuk masyarakat B40.

“Jangan lupa M40, rakyat Malaysia kelas pertengahan juga terdiri daripada majoriti rakyat Malaysia.

“Mereka juga terkesan dan kita berhutang untuk membantu mereka,” katanya.

Malaysia diletakkan di bawah perintah sekatan pergerakan penuh selama dua minggu dari 1 Jun hingga 14 Jun bagi mengekang penyebaran Covid-19 susulan kes aktif mencapai angka 80,000.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan bank dan institusi kewangan akan memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 dan mereka yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan di bawah pakej Pemerkasa+.

Moratorium juga akan diperluas kepada PKS yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh ini.

Syed Saddiq yang juga pengasas bersama Muda berkata pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan semalam tidak mencukupi membantu mereka yang terjejas sepanjang tempoh sekatan penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

Sejak bermulanya wabak ini, Putrajaya mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM340 bilion melalui pakej Prihatin, Pemerkasa dan Penjana.

Syed Saddiq yang juga pengasas bersama Muda berkata pakej rangsangan yang diumumkan semalam tidak mencukupi membantu mereka yang terjejas sepanjang tempoh sekatan penuh.

“Ia mesti disertai dengan bantuan yang mencukupi. Bantuan tunai, moratorium automatik, terutama kepada semua golongan,” katanya.

Kaedah kreatif untuk kumpul dana

Sebagai ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berkata beliau bertanggungjawab membantu pengundinya walaupun peruntukan ditarik balik sebagai ahli Parlimen pembangkang.

“Walaupun peruntukan saya ditarik balik – sebagai ahli Parlimen pembangkang, saya tidak mendapat peruntukan RM3.8 juta hingga RM4.5 juta setahun – tetapi saya tidak akan membuat aduan, saya akan mencari sumber lain,” katanya sambil menambah bahawa peruntukannya hanya RM100,000 setahun.

Dana untuk pakej bantuannya akan diambil dari gajinya dan dana orang ramai, katanya.

“Seperti yang saya nyatakan secara terbuka, bantuan kewangan yang saya berikan akan diambil dari gaji Jun saya, yang saya sumbangkan kepada Muar.

“Ini akan diambil dari jualan kurta saya yang dijual pada Hari Raya, barangan Jalan Tegak saya dan melalui dana orang ramai,” katanya.

Di bawah Pakej Sejiwa, pengundi juga akan menerima subsidi saringan Covid-19. Sebanyak 300 tablet tambahan untuk pelajar kurang mampu yang kini perlu mengakses pembelajaran dalam talian.

Beliau sebelum ini sudah memberikan 800 komputer riba dan tablet.

“Saya juga akan memberikan subsidi pengangkutan kepada mereka yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca dan perlu ke Johor Bahru serta lebih 1,000 bantuan makanan,” katanya.

Pakej bantuan juga akan menyaksikan 30 individu dikerahkan untuk pergi dari rumah ke rumah dan membantu 1,000 keluarga mendaftar vaksin Covid-19. – 2 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen