BANK dan institusi kewangan akan memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 dan mereka yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat sekatan pergerakan penuh bermula esok, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, moratorium itu akan dilaksanakan segera pada bulan Jun.
Muhyiddin mengumumkan kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman itu diberikan sama ada secara automatik selama tiga bulan atau pilihan mengurangkan bayaran balik sebanyak 50% selama enam bulan.
“Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok.
“Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.
“Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” katanya dalam perutusan khas bantuan PKP 3.0, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini.
Kemudahan ini dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion, kata Muhyiddin.
Kelonggaran bayaran balik pinjaman bank itu adalah antara bantuan yang diatur oleh pentadbiran Muhyiddin selepas menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh, yang membenarkan hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu beroperasi sehingga 14 Jun ini.
Pakej bantuan ini dinamakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) ini, umum Muhyiddin.
Selain penangguhan bayaran balik pinjaman bank, kerajaan juga kata perdana menteri akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan peruntukan RM1 bilion, yang akan dilancarkan pada minggu ini.
“Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin menyeru semua agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga akan membuka sehingga 31 Julai ini permohonan untuk penangguhan pembayaran balik pinjaman pelajaran dan usahawan, di bawah program Mara Prihatin Peace of Mind.
Mereka boleh memohon secara dalam talian untuk penjadualan semula bayaran balik atau moratorium, kata perdana menteri.
Usahawan Mara yang terkesan akibat penutupan ekonomi juga diberi diskaun sewa premis perniagaan sebanyak 30% untuk bulan Mei hingga Julai ini, tambah Muhyiddin. – 31 Mei, 2021.
Komen