Tidak boleh naik haji punca tidak hadir temu janji vaksin di Kelantan, kata doktor


Mohd Farhan Darwis

Arab Saudi baru-baru ini dilaporkan tidak mengiktiraf Sinovac sebagai vaksin Covid-19 yang ditetapkan dalam garis panduan syarat kebenaran ke tanah suci.– Gambar AFP, 30 Mei, 2021.

TIDAK boleh naik haji atau mengerjakan umrah kerana disuntik dengan vaksin Covid-19 jenis Sinovac antara punca ramai orang di Kelantan mengabaikan temu janji vaksinasi yang ditetapkan untuk mereka, kata pegawai perubatan yang mengendalikan pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu.

Ada juga yang tidak hadir kerana percaya berita tidak benar yang mereka terima di media sosial kononnya vaksin Covid-19 tidak selamat, kata Dr Nurul Amirah Abdul Hadi yang bertugas memberikan vaksin di sebuah PPV di Pasir Mas.

Kebimbangan tidak boleh ke Mekah betul-betul wujud, kata doktor itu, susulan laporan baru-baru ini bahawa Arab Saudi tidak mengiktiraf Sinovac sebagai vaksin Covid-19 yang ditetapkan dalam garis panduan syarat kebenaran ke tanah suci.

“Ya, kebanyakan rakyat Kelantan terutamanya golongan warga emas menolak vaksin jenis Sinovac kerana ada ura-ura tentang kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan individu yang mengambil vaksin jenis ini datang ke negara mereka,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun menjelaskan Sinovac adalah antara vaksin yang berdaftar dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sedang dalam proses melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk kelulusan kegunaan kecemasan badan itu.

“Tidak mustahil vaksin jenis Sinovac juga akan diiktiraf oleh Arab Saudi memandangkan bukan Malaysia sahaja yang menggunakan vaksin jenis ini. 

“Beberapa negara lain juga turut menggunakannya memandangkan harganya lebih murah,” katanya, merujuk kepada Indonesia, yang mempunyai bilangan jemaah haji dan umrah yang lebih tinggi.

Jelas Dr Nurul, isu ini tidak sepatutnya timbul kerana keutamaan sekarang ialah melindungi diri sendiri dan keluarga daripada wabak dengan mendapatkan vaksin untuk mencegah penularan Covid-19.

Ada juga yang tidak hadir janji temu kerana percaya berita tidak benar yang mereka terima di media sosial kononnya vaksin Covid-19 tidak selamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

Arab Saudi setakat ini dilapor mengiktiraf empat jenis vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna, dan tidak menyenaraikan Sinovac.

Tabung Haji juga baru-baru ini menasihati bakal jemaah haji persendirian yang menggunakan visa furada supaya menyemak syarat vaksin Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Isu sama juga dihadapi oleh bakal jemaah haji Indonesia sehingga ada desakan supaya pemerintah republik itu berunding semula dengan pihak berkuasa Arab Saudi agar menerima vaksin jenis Sinovac.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed yang juga wakil rakyat Jeli membuat seruan melalui radio mengingatkan rakyat Kelantan akan fatwa yang mewajibkan vaksin ke atas kumpulan sasaran antaranya warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Putrajaya tidak mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat tetapi berhasrat mahu memvaksin sehingga 80 peratus penduduk sebelum akhir tahun bagi mencapai imuniti kelompok.

Prosesnya bagaimanapun masih dilihat perlahan apabila ramai yang mendaftar masih belum mendapat temu janji untuk disuntik vaksin.

Namun di banyak negeri, ada jumlah besar mereka yang sudah mendapat temu janji bagaimanapun tidak datang pada masa yang ditetapkan.

Lebih kurang 10,000 orang tidak datang untuk disuntik vaksin Covid-19 masing-masing di Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah, sementara lebih 3,000 di Perlis, kira-kira 6,000 di Negeri Sembilan. 

Di Johor, laporan menyebut lebih kurang 14,000 orang tidak datang.

Arab Saudi setakat ini dilapor mengiktiraf empat jenis vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna, dan tidak menyenaraikan Sinovac.– Gambar AFP, 30 Mei, 2021.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan menimbang untuk mengenakan kompaun ke atas mereka yang gagal hadir temu janji vaksin Covid-19.

Sehingga tengah hari semalam, Kelantan mengesan 851 lagi kes baharu Covid-19 di negeri itu, menjadikan 5,848 kes aktif yang sedang dirawat dengan 58 kes di unit rawatan rapi (ICU). Kementerian Kesihatan juga melaporkan 67 kluster masih aktif di Kelantan.

Sebelum PKP dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei lalu, Kelantan lebih awal diletakkan di bawah PKP pada pertengahan April.

Percaya berita palsu

Di sebalik keadaan itu, Dr Nurul kesal kerana masyarakat umumnya lebih percaya berita palsu mengenai Covid-19 yang tersebar melalui Facebook dan WhatsApp.

Berita palsu itu hanya menakut-nakutkan orang ramai untuk menerima suntikan vaksin, katanya.

Majoriti warga emas juga gagap teknologi, tambahnya.

“Mereka tidak pandai untuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau ada juga segelintir yang tidak mempunyai telefon pintar. 

“Bagi golongan ini, mereka mendaftar hanya dengan bantuan anak-anak dan perkara ini menyebabkan mereka terlepas tarikh temujanji vaksinasi. 

“Kekangan juga berlaku bagi anak-anak untuk memohon cuti kerja bagi membawa atau menemani ibu bapa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), selain ada juga sebahagian dari mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti demam dan sebagainya,” katanya.

Pengarah Kesihatan Kelantan Zaini Hussin dipetik berkata tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera antara sebab banyak rakyat Kelantan tidak hadir temu janji mereka.

Setakat semalam, hanya 391,000 rakyat Kelantan sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin atau bersamaan 31% daripada kumpulan sasaran di negeri itu.

Majoriti warga emas tidak pandai menggunakan aplikasi MySejahtera atau ada juga segelintir yang tidak mempunyai telefon pintar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

Dr Nurul yang bertugas di PPB Apam Putra di Lubok Jong berkata pihaknya mengendalikan purata 1,000 dos sehari pada minggu ini. Malah, susulan berita ramai yang tidak datang temu janji, banyak juga yang mencuba nasib untuk jadi pengganti.

“Ramai rakyat Kelantan yang masih belum menerima tarikh bagi suntikan vaksinasi memohon untuk segera divaksin sehingga ada yang sanggup beratur di PPV sehingga petang bagi menunggu jika ada lebihan vaksin pada hari tersebut. 

“Tetapi kita tidak dapat memberikan suntikan vaksin kepada mereka kerana bagi penerima vaksin yang tidak hadir, sudah ada senarai yang akan menggantikan mereka dalam golongan yang sama, iaitu mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Tidak bertanggungjawab

Sementara itu, seorang sukarelawan di PPV Abdul Hadi Mohamad berkata penyebaran berita palsu sehingga menakutkan warga emas menerima suntikan vaksin adalah perbuatan  tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga bekas pesakit Covid-19 berkata pengalamannya dirawat membuka mata tentang realiti wabak ini.

“Beberapa orang rakan saya telah dimasukkan ke ICU dan ada yang meninggal dunia.

“Terimalah inisiatif dari pihak Kementerian Kesihatan dengan minda yang terbuka. 

“Janganlah kita memburukkan lagi keadaan dengan menyebarkan berita dan maklumat palsu,” katanya.

Abdul Hadi berharap anak-anak juga memainkan peranan memberi kefahaman kepada ibu bapa mereka tentang pentingnya vaksinasi.

Dalam pada itu, ada juga anak Kelantan yang berpengaruh mengambil inisiatif sendiri menyeru rakyat negeri itu supaya menerima vaksin, seperti pelakon dan pengarah telemovie Sabri Yunus.

“Ini bukan ubat, ini pendinding, untuk nak kawal kalau kena virus ada benda boleh lawan dia, bukan cucuk boleh hilang sakit. 

“Jangan tak ambil… ada setengah kata kerajaan tipu, ambil boleh bebas, bukan, kalau kita ambil daya tahan kita kuat,” katanya. – 30 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen