Dengar fatwa, ambil vaksin Covid-19, seru Mustapa kepada rakyat Kelantan


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed membuat gesaan itu ketika ada laporan hampir 10,000 penduduk di Kelantan tidak hadir temu janji untuk vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

ORANG Islam di Kelantan patut mengambil vaksin Covid-19 selepas pihak berkuasa agama negeri memutuskan pengambilannya wajib ke atas kumpulan sasaran yang ditetapkan, kata Mustapa Mohamed.

Mustapa membuat gesaan itu ketika ada laporan hampir 10,000 penduduk di Kelantan tidak hadir temu janji untuk vaksin Covid-19, sebahagian besarnya mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kedudukan vaksin Covid-19 sudah diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri yang memutuskan juga ia harus bagi mereka yang lain.

“Oleh itu tidak sepatutnya ada keraguan dalam kalangan orang Islam di Kelantan,” kata ahli Parlimen Jeli itu dalam wawancara dengan radio KelantanFM pagi ini.

Kelantan semalam mengesan 754 lagi kes baharu Covid-19, atau bersamaan 10 peratus daripada keseluruhan kes baharu di seluruh negara. 

Jumlah kes yang tinggi itu dikesan biarpun Kelantan tidak menjalankan saringan percuma ke atas penduduknya seperti di Selangor.

Setakat semalam, hanya lebih 380,000 orang sudah mendaftar di Kelantan untuk mendapatkan vaksin atau bersamaan 31% daripada kumpulan sasaran di negeri itu.

Menurut Mustapa, di kawasannya di Jeli tidak lebih 4,000 orang berdaftar.

Warga emas di Kelantan diingatkan supaya tidak mendengar cakap anak-anak yang mungkin memberi maklumat salah mengenai vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad semalam juga sekali lagi mengingatkan bahawa ulama di seluruh dunia sependapat pengambilan vaksin Covid-19 adalah penting dan harus untuk mencegah penularan wabak.

Beliau juga mengingatkan perkara itu juga diwajibkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi ke atas jemaah haji dan umrah.

Pada Disember 2020, mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus kepada umum dan wajib bagi golongan ditetapkan kerajaan.

Mustapa menjelaskan usaha mengawal wabak Covid-19 ibarat perang, sementara vaksin adalah pilihan terbaik untuk menang.

“Ada yang kata mereka rela mati daripada ambil vaksin. Ini menakutkan. Kita sedang dalam perang. Jangan dengar cakap anak-anak yang mungkin beri maklumat salah.

“Kerajaan, majlis fatwa dan pakar perubatan semuanya menggalakkan pengambilan vaksin… jadi kita mesti dengar,” katanya. 

Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed berkata usaha mengawal wabak Covid-19 ibarat perang, sementara vaksin adalah pilihan terbaik untuk menang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

Ikut SOP

Mustapa yang pulih daripada jangkitan Covid-19 pada Januari lalu juga menggesa rakyat Kelantan agar patuh peraturan dan nasihat kerajaan untuk membendung wabak.

Beliau mengingatkan mereka jangan pandai-pandai cuba mengelak peraturan yang ditetapkan.

“Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan ikut SOP. Jangan sembahyang dalam gelap. Duduk di rumah dan keluar hanya kalau perlu,” katanya.

Penduduk Kampung Puah Lima di Bachok sebelum ini dilaporkan bersembahyang terawih dalam gelap pada bulan Ramadan lalu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kampung itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan sehingga 1 Jun.

Mustapa juga berkongsi pengalamannya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, termasuk tiga hari dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) setelah keadaan paru-parunya merosot. – 28 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen