Sekatan penuh mesti disusuli bantuan kerajaan, kata wakil rakyat


Beberapa wakil rakyat berkata pakej bantuan kepada kumpulan rentan perlu dibuat bagi membantu mereka meneruskan hidup susulan penguatkuasaan sekatan penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

KEPUTUSAN Putrajaya mengenakan sekatan penuh ke atas sektor ekonomi dan sosial tidak perlu mesti disusuli dengan pakej bantuan kepada kumpulan rentan untuk meneruskan hidup yang terjejas, kata beberapa wakil rakyat.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata melihat perkembangan penularan Covid-19 sekarang, kerajaan tiada pilihan selain menguatkuasakan sekatan penuh, seperti yang pernah dikenakan lebih setahun lalu.

“Keputusan ini sebenarnya agak lambat. Tanda-tandanya sudah ada sejak minggu lepas tetapi mereka menangguhkannya,” kata bekas menteri pengangkutan kepada The Malaysian Insight. 

Beliau tidak yakin dua minggu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) cukup untuk melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, berdasarkan pengalaman lepas, dan sebab itu, golongan rentan perlu dibantu.

“Sama ada dua minggu atau lebih, apa yang mustahak ialah kerajaan mesti mengumumkan pakej bantu bagi memastikan kumpulan rentan, miskin dan berpendapatan rendah dilindungi dengan sewajarnya.

“Kerajaan ada tanggungjawab untuk melindungi mereka. Sudah tentu sekatan penuh ini akan kesan kepada kehidupan seperti yang kerajaan sendiri sebut berulang kali,” katanya.

Loke memberikan contoh penangguhan bayaran pinjaman sebagai antara bantuan yang perlu kerajaan beri, dan diberi tanpa syarat.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata sekatan penuh mesti datang bersama bantuan untuk rakyat.

“Pastikan total lockdown dengan segala bentuk bantuan yang akan kembali masuk dalam kitaran ekonomi. 

“Bantuan kepada rakyat secara relatif akan mencipta permintaan dan ekonomi akan bergerak walaupun PKP,” tulisnya di Facebook malam ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan kepada rakyat secara relatif akan mencipta permintaan dan ekonomi akan bergerak walaupun PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

Ahli Parlimen Bagan Datuk menarik perhatian kepada pinjaman RM99.3 bilion yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dan serta dana tambahan yang ada pada Khazanah Nasional dan Petronas.

“Untuk apa meminjam jika kebajikan rakyat diabaikan.

“Bantulah rakyat melalui Bantuan Prihatin 3.0 serta bakul makanan yang lebih efektif serta i-Sinar 2.0 atau i-Lestari plus,” katanya, merujuk kemudahan pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Zahid juga menyeru agar kerajaan menggunakan Ordinan Darurat untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman bank “kerana darurat diperolehi untuk melawan Covid-19,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri juga mengulangi pendiriannya sekatan penuh harus dilaksanakan selama 21 hari, dengan turut dilaksanakan beberapa syarat lain untuk kesejahteraan rakyat termasuk bakul makanan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Hasni Mohamad berkata pihaknya akan mengumumkan pakej bantuan untuk rakyat tidak lama lagi.

Di Twitter, ahli parlimen pembangkang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan segera mengumumkan bantuan untuk rakyat.

“Ini bukan pertama kali umum total lockdown. Sepatutnya kita tak perlu tunggu “dalam masa terdekat” untuk kerajaan umum bantuan rakyat waktu lockdown,” katanya.

Beliau merujuk pengumuman Pejabat Perdana Menteri bahawa pakej bantuan itu sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Presiden penaja parti Muda mencadangkan moratorium automatik kepada peminjam bank, bantuan untuk keluarga B40 dan M40,  pendidikan untuk para pelajar dan subsidi upah kepada pekerja.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik pula memetik contoh kerajaan Singapura yang tidak hanya mengumumkan sekatan tetapi serta merta mengumumkan juga bantuan kepada kerajaan.

Sementara itu, Pakatan Harapan Johor mahu kerajaan memastikan saringan Covid-19 dipertingkatkan supaya angka jangkitan sebenar dapat membantu  usaha pencegahan dengan lebih berkesan.

“(Dengan) langkah saringan dan ‘contact tracing’ secara besar-besaran ini, pengarahan kuarantin yang lebih bersasar boleh diperketatkan,” kata mereka dalam satu kenyataan malam ini.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik memetik contoh kerajaan Singapura yang tidak hanya mengumumkan sekatan tetapi serta merta mengumumkan juga bantuan kepada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

Pakatan Harapan Johor juga mahu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan fokus pada kumpulan sasar dan lokaliti yang berisiko tinggi.

“Seandainya tidak diurus dengan baik dan teliti, Pakatan Harapan Johor bimbang kesan dari perlaksanaan ‘total lockdown’ ini akan menambah derita rakyat, ekonomi menjadi parah, pendidikan anak-anak terus dimangsakan dan kehidupan sosial rakyat tidak kembali pulih seperti sediakala,” kata mereka.

Sidang khas MKN mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi setuju untuk melaksanakan sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial yang tidak perlu berkuat kuasa antara 1 hingga 4 Jun.

Ia sama seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama antara Mac dan Mei tahun lepas, ketika gelombang pertama penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Keputusan dibuat selepas kes jangkitan baharu Covid-19 mencecah lebih 8,000, menjadikannya rekod kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Januari 2020. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen