Pakej bantuan rakyat sedang diperinci, kata Pejabat PM


Pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat selepas sekatan penuh bakal dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

PUTRAJAYA akan mengumumkan tidak lama lagi pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara mengenakan sekatan penuh bagi mengawal penularan Covid-19 yang semakin mendadak, kata Pejabat Perdana Menteri.

Pakej bantuan itu sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan, kata kenyataan pejabat itu petang tadi, ketika mengumumkan sekatan penuh bermula Selasa ini.

“Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat,” kata Pejabat Perdana Menteri. 

Sidang khas MKN mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi setuju untuk melaksanakan sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial yang tidak perlu berkuat kuasa antara 1 hingga 4 Jun.

Ia sama seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama antara Mac dan Mei tahun lepas, ketika gelombang pertama penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Keputusan dibuat selepas kes jangkitan baharu Covid-19 mencecah lebih 8,000, menjadikannya rekod kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Januari 2020.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri berkata dengan sekatan lebih ketat bermula minggu depan, kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam negara tidak runtuh.

Pada masa sama, ia akan memberikan pelbagai sokongan dan bantuan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini,” kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri juga menyeru semua rakyat agar terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. 

“Yang terbaik ialah duduk di rumah untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19,” kata kenyataan itu. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen